Bot hilang ditemui di luar perairan Tonga

Bot hilang ditemui di luar perairan Tonga

WELLINGTON, 29 Jun (AFP) – Sebuah bot yang mencetuskan pencarian besar-besaran apabila ia hilang di perairan luar Tonga bersama 11 orang di dalamnya telah ditemui dengan semua para penumpangnya selamat dan dalam keadaan baik, menurut pihak berkuasa hari ini.

Pasukan tentera laut Tonga dan pasukan udara New Zealand telah dikerahkan untuk menjalankan pencarian apabila bot itu hilang selepas berlepas dari Nuku’alofa pada Isnin dalam pelayaran kira-kira 90 kilometer.

Maritim New Zealand berkata kapal sepanjang 11 meter itu mengalami kerosakan namun mereka yang menaiki kapal itu berjaya menghantar mesej teks lewat kelmarin dengan menyatakan kedudukan mereka.

Polis Tonga berkata sebuah bot nelayan telah dihantar untuk menundanya balik ke bandar dan beberapa penumpang, termasuk kanak-kanak telah dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan namun dibenarkan pulang selepas itu.

ARTIKEL YANG SAMA