Bot karam: Angka kematian meningkat kepada 19 orang

NEW DELHI, 13 Nov – Angka kematian dalam insiden bot karam di negeri Andhra Pradesh yang terletak di selatan India telah meningkat kepada 19 orang dan misi menyelamat masih berjalan, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan beberapa pegawai polis pada Isnin.

Bot itu karam di Sungai Krishna dalam daerah Krishna, yang terletak 55 kilometer di timur Amravati, sebuah bandar utama di Andhra Pradesh.

“Kesemua mayat telah dibawa keluar dan kami kini cuba mengesan mangsa yang masih hilang,” kata pegawai terbabit.

Menurut mereka, bot malang itu membawa kira-kira 40 orang ketika ia karam pada petang Ahad.

Susulan insiden itu, pegawai terbabit berkata mereka telah mengerahkan anggota polis dan pasukan pengurusan bencana ke tempat kejadian untuk menjalankan kerja-kerja menyelamat.

“Operasi menyelamat telah diteruskan sejak semalam dengan menggerakkan empat daripada pasukan kami termasuk penyelam dalam usaha mengesan mangsa yang hilang,” kata seorang anggota pasukan bencana nasional (NDRF) yang berada di lokasi kepada media.

Saksi berkata 20 orang telah diselamatkan oleh nelayan tempatan selepas bot itu terbalik.

Pelancong tempatan berada di atas bot itu dan dalam perjalanan untuk menyaksikan upacara keagamaan tempatan, maha haarathi.

“Mangsa dikenal pasti sebagai anggota Kelab Pejalan Kaki Ongole di daerah Prakasam manakala sesetengahnya adalah dari Nellore,” kata seorang penduduk tempatan, Arun Kumar, kepada Xinhua.

Ketika nahas, tebing sungai terbabit sesak dengan pengunjung.

Pegawai polis terbabit berkata bot itu telah beroperasi tanpa lesen dan tidak menyediakan jaket keselamatan atau alat pengapungan.

Pihak berkuasa terbabit telah mengarahkan satu siasatan dijalankan ke atas insiden itu meskipun muatan berlebihan dikatakan menjadi punca bot itu terbalik.

Sementara itu, Perdana Menteri India Narendra Modi telah melahirkan rasa duka citanya berikutan kehilangan nyawa dalam insiden tersebut.

Pada April tahun ini, sejumlah 13 orang lemas selepas sebuah bot yang membawa mereka terbalik. – Bernama