Bot karam di Labuan, seorang lemas, rakan masih hilang

Bot karam di Labuan, seorang lemas, rakan masih hilang

LABUAN, 14 Sept (Bernama) – Seorang pemancing warga tempatan lemas, sementara seorang rakyat Indonesia masih hilang selepas bot mereka karam pada pagi Ahad.

Kedua-duanya keluar memancing pada pukul 2.30 petang bersama seorang lagi lelaki warga Indonesia yang terselamat, dalam kejadian kira-kira 1.8 batu nautika dari pantai Nagalang, di sini.

Bot mereka dilaporkan karam 20 minit selepas mereka keluar memancing.

Gerakan mencari mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Narton, 30-an, dilakukan oleh pelbagai agensi seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis marin Labuan, Jabatan Marin dan nelayan tempatan.

Dalam kenyataan bersama APMM dan bomba, mangsa yang lemas dikenali sebagai Harris Harun, 40, seorang kontraktor, sementara yang terselamat Mikal Andryk, 34, kedua-duanya sudah berumah tangga dan masing-masing memiliki dua dan seorang anak.

Mangsa yang lemas dan terselamat ditemui dalam keadaan berpelukan, oleh nelayan tempatan yang membawa mereka ke jeti marin dan menghantar ke hospital.

Ketua penguat kuasa maritim APMM Kapten Che Adnan Md Isa mengingatkan para pemancing dan nelayan memastikan keselamatan bot dan kapal mereka dalam keadaan baik sebelum keluar ke laut berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu pada masa ini.