Bot laju karam di Thailand

Bot laju karam di Thailand

BANGKOK, 27 Mei – Tiga orang pelancong asing terbunuh dan seorang lagi masih hilang selepas sebuah bot laju penuh sesak karam di pulau percutian popular Thailand, Koh Samui, menurut seorang pegawai polis hari ini.

Bot itu, yang membawa 32 orang pelancong serta empat kru, terbalik semalam selepas ia dihempas ombak berhampiran perairan pantai berbatu pulau itu di Teluk Thailand.

Mayat seorang wanita Britain, 28 tahun, seorang wanita Jerman berusia 29 tahun ditemui tengah hari itu, menurut Paiboon Omark, ketua daerah di pulau itu. Pagi ini para pekerja menyelamat telah menemui mayat pelancong ketiga, yang dikenal pasti oleh polis sebagai wanita Hong Kong berusia ‘dalam 30an”.

“Mayatnya ditemui pada pukul 10:30 pagi, kira-kira 500 meter dari tempat kemalangan,” Thanankorn Patananun, ketua polis pelancong pulau itu memberitahu AFP. Sekumpulan pekerja penyelamat seramai 50 orang dalam tujuh buah bot melancarkan usaha mencari di kawasan itu bagi seorang lelaki Britain yang masih hilang, menurutnya lagi.

Kapten berbangsa Thailand bagi bot laju Ang Thong Explorer telah ditahan dan didakwa dengan kecuaian yang membawa kepada kematian dan kecederaan. “Cuaca adalah punca kemalangan kerana ia mengakibatkan ombak besar, tetapi bot itu juga dikemudi pada kelajuan tinggi,” Apichart Boonsriro, pemerintah polis wilayah Surat Thani memberitahu AFP. Empat orang pelancong – dari United Kingdom, Australia, Jerman dan Romania – dirawat di hospital di pulau itu kerana mengalami kecederaan ketika kemalangan itu, menurut kakitangan di hospital Samui. Bot laju itu membawa para pelancong bagi perjalanan sehari ke pulau-pulau berhampiran hanya beberapa meter dari tambangan apabila ia karam.

Gambar yang diambil melalui video Khamis lalu menunjukkan anggota penyelamat menyelamatkan mangsa seorang wanita dari sebuah bot karam di Koh Samui, Thailand. – AP
Gambar yang diambil melalui video Khamis lalu menunjukkan anggota penyelamat menyelamatkan mangsa seorang wanita dari sebuah bot karam di Koh Samui, Thailand. – AP

Pejabat Luar United Kingdom mengesahkan kematian seorang wanita Britain dan berkata ia memberi bantuan kepada keluarga wanita itu. Seorang jurucakap wanita berkata mereka mengetahui tentang seorang lagi warga Britain yang dirawat di hospital kerana kecederaan yang dialami dalam kejadian sama, tetapi tidak menyebut tentang warga ketiga. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA