Bot laju Tutong meriah

Bot laju Tutong meriah

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 18 Sept – Seramai 50 peserta yang terdiri daripada peserta dalam dan luar negara telah menyertai Perlumbaan Bot Laju anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Penabai/Kuala Tutong yang diadakan di kawasan sungai kampung berkenaan, di sini, hari ini.

Beberapa kategori telah dipertandingkan iaitu kategori Bot Laju 18 Kuasa Kuda (HP) ke bawah empat pusingan, Bot Laju 30HP (2 piston) ke bawah empat pusingan, Bot Laju 30HP (3 piston) ke bawah lima pusingan, Bot Laju 50HP ke bawah tujuh pusingan, Bot Laju 60 HP lapan pusingan dan Bot laju F1/F2 10 pusingan.

Menjuarai bagi kategori Bot laju 18 HP ialah Pasukan Zero; juara bagi kategori 30 HP (2 piston) ke bawah ialah Pasukan Rx7; juara bagi 30 HP (3 Piston) ke bawah ialah pasukan JSM 56; juara kategori 50 HP ke bawah dan juara Kategori 60 HP ialah Pasukan Black Mamba 888; dan Pasukan Shadaa 46 menjuarai Kategori Bot Laju F1/F2.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan hadiah-hadiah ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam.

Haji Adnan menyampaikan hadiah kepada juara salah satu kategori yang dipertandingkan.
Haji Adnan menyampaikan hadiah kepada juara salah satu kategori yang dipertandingkan.

Majlis turut dihadiri oleh pemangku penghulu Mukim Pekan Tutong, pegawai-pegawai kanan kerajaan, jemputan-jemputan khas, ahli-ahli MPK dan penduduk Kampung Penabai/Kuala Tutong dan sekitarnya.

Turut memeriahkan acara perlumbaan bot ialah perkhidmatan boat cruise yang menelusuri sungai menuju ke Kuala Sungai Tutong yang dikendalikan oleh Perusahaan Seri Melati dan diikuti dengan lebih 70 buah petak jualan untuk kemudahan orang ramai.

Adapun tujuan acara itu diadakan adalah untuk memberi ruang serta penglibatan aktif dalam sukan air kepada yang berminat di samping dapat memupuk kerjasama dan bertolak ansur dalam satu pasukan dengan pasukan yang lain.

Di samping itu, acara perlumbaan ini akan dapat menunjukkan semangat kesukanan dan kecergasan dalam bidang sukan air serta mempromosikan peningkatan peserta dalam sukan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA