Bot nelayan disyaki bom ikan ditahan

Bot nelayan disyaki bom ikan ditahan

KOTA KINABALU, 4 Sept (Bernama) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kota Kinabalu menahan sebuah bot nelayan tempatan disyaki digunakan untuk aktiviti bom ikan di perairan Pulau Sulug, semalam.

Ketua Penguat kuasa Maritim Kota Kinabalu Kapten Zin Azman Md Yunus berkata bot berkenaan yang sedang dalam perjalanan menghala ke Kota Kinabalu dikesan dalam keadaan bergelap dan mencurigakan.

“APMM mengejar bot berkenaan selama 15 minit sebelum menahan bot itu pada 11.40 malam, namun suspek yang berada di atas bot terbabit berjaya melarikan diri dengan terjun ke laut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pemeriksaan terhadap bot terbabit mendapati pelbagai ikan anggaran seberat 200 kilogram yang dipercayai ditangkap dengan kaedah pengeboman.

“Keadaan fizikal ikan-ikan yang ditangkap dalam keadaan lembik dan abdomen ikan-ikan itu pecah,” katanya.

Beliau berkata, nilai rampasan termasuk bot dan hasil tangkapan dianggarkan bernilai RM50,000.