Bot nelayan M’sia dibakar pihak berkuasa Indonesia

Bot nelayan M’sia dibakar pihak berkuasa Indonesia

JAKARTA, 8 Jan (Bernama) – Pihak berkuasa Indonesia telah membakar dan menenggelamkan tiga bot nelayan Malaysia di Selat Bengkalis, Wilayah Riau pada Khamis, menurut laporan sebuah akhbar Inggeris tempatan.

Jakarta Post pada Jumaat memetik Ketua Bahagian Jenayah Am Pejabat Pendakwa Raya Bengkalis, Mico Wave Sitohang sebagai berkata pemusnahan bot itu dirancang untuk pelaksanaan dalam November dan awal Disember tahun lepas tetapi hanya dapat dilakukan pada Khamis.

Mico berkata 10 anak kapal warga Malaysia telah dijatuhkan masing-masing hukuman penjara lapan bulan dan denda dua bilion rupiah (kira-kira RM600,000) kerana menangkap ikan secara haram.

Kerajaan Indonesia telah membakar dan menenggelamkan ratusan bot nelayan asing dalam usahanya membanteras penangkapan ikan secara haram di perairan negara ini.

Media tempatan melaporkan sejak tahun lepas kira-kira 107 daripada 177 bot nelayan yang diimpaun oleh Kerajaan Indonesia sama ada dimusnahkan ataupun ditenggelamkan.

Sekurang-kurangnya 103 bot dirampas daripada nelayan asing, 39 daripadanya dari Vietnam, 34 dari Filipina, 21 dari Thailand, enam dari Malaysia, dua dari Papua New Guinea dan satu dari China.

ARTIKEL YANG SAMA