Botak demi menjayakan watak

Botak demi menjayakan watak

AKIBAT mahu menjiwai watak pesakit kanser dalam filem Ae Dil Hai Mushkil, aktres Hindustan berbakat besar, Anushka Sharma, sanggup membotakkan kepalanya. Bagaimanapun, Anushka tidak mencukur rambutnya yang panjang itu, sebaliknya diaplikasikan dengan teknik kesan khas bagi menghasilkan hasil yang cukup realistic.

Sebelum ini, beberapa aktres Bollywood seperti Priyanka Chopra dan Kangna Ranaut pernah aplikasikan teknik yang sama untuk tampil botak dalam filem lakonan mereka. Dalam filem arahan Karan Johar itu, Anushka, 28, melakonkan watak Alizeh Khan bergandingan dengan aktor Ranbir Kapoor, Aishwarya Rai serta aktor Pakistan, Fawad Khan.

Apa yang menarik, Ranbir yang melakonkan watak penyanyi dan sahabat karib Alizeh turut sama ‘membotakkan kepala’ demi merealisasikan babak klimaks dalam filem itu.

Ketika ditemu bual pihak media, Anushka memberitahu dia sangat teruja untuk kelihatan botak dalam filem itu ke-rana skrip dan produksinya cukup bagus.

“Apabila bekerja dengan Karan dan tenaga kreatif seperti Manish Malhotra, anda hanya perlu fokus kepada lakonan sahaja kerana mereka lebih tahu sudut terbaik anda dalam filem. Ini juga kali pertama saya dan Ranbir berimej botak dan perkara ini dirahsiakan sehingga filem ini ditayangkan di pawagam,” katanya.

m16-d_21112012

Bercakap mengenai jalan cerita, Anushka menafikan filem itu memaparkan kisah cinta tiga segi yang klise seperti disangka ramai.

“Ia bukan cinta biasa dan kompleks. Antara persahabatan, kekasih sejati dan rahsia besar dalam hidup, semuanya diadun dengan baik oleh Karan. Ia kisah cinta zaman moden yang sangat unik dan menyentuh hati,” kata Anushka.

Bagaimanapun, Anushka yang dulu pernah berlakon filem blockbuster, Rab Ne Bana Di Jodi pada 2008, akui dia turut berdepan cabaran tersendiri untuk menempa nama di Bollywood. Aktres yang berasal dari keluarga tentera ini tidak ada sebarang pengalaman berlakon mahupun latar keluarga dalam kalangan dunia Bollywood.

“Ia ada kelebihan dan kekurangannya. Namun saya anggap ia pencapaian yang bagus kerana datang dari kalangan mereka yang tiada pengalaman dalam bidang perfileman,” katanya yang turut membintangi filem Sultan bersama Salman Khan.

Anushka akui dia turut menimba pengalaman sangat berharga ketika bekerjasama dengan Aishwarya dalam Ae Dil Hai Mushkil.

“Saya sangat teruja bekerjasama dengannya. Walaupun hanya ada satu babak dengan Aishwarya dalam filem ini tetapi ia cukup bermakna kerana ia babak penting.

“Maklumlah, saya membesar dengan menonton semua filem lakonannya seperti Devdas dan memang menanti peluang untuk berlakon dengannya sejak dulu lagi,” katanya. Mengenai gandingan dengan Ranbir pula, kata Anushka, mereka juga tidak ada masalah untuk mendapatkan keserasian dalam filem itu yang menjalani penggambaran di London dan Paris.

“Kami juga pernah bergandingan dalam filem Bombay Velvet arahan Anurag Kashyap. Justeru, tidak sukar untuk kami melakonkan karakter sepasang kekasih,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA