Bouchard menang aksi pertama 2018

MELBOURNE, 11 Jan – Eugenie Bouchard memenangi perlawanan pertamanya pada tahun ini hari ini, mencatat kekalahan 6-2, 6-0 ke atas pemain remaja Australia Destanee Aiava pada kejohanan Kooyong Classic di Melbourne.

Pemain Kanada itu telah tewas dalam tiga perlawanan kumpulan pada minggu lalu pada perlawanan Piala Hopman di Perth dan disingkirkan dalam pusingan pertama di Hobart pada Isnin, sekali gus menjejas persediaannya untuk kejohanan Terbuka Australia.

“Saya berasa gembira untuk keluar di sana dalam perlawanan rasmi,” kata pemain berusia 23 tahun itu. “Terdapat tempat duduk, penonton dan pengadil. Ia seperti satu perlawanan latihan tetapi betul-betul sebenarnya.”

Dengan masa kesuntukan untuk membuat persediaan bagi kejohanan Grand Slam pada tahun ini, peserta akhir Wimbledon 2014, kini menduduki tempat ke-83 selepas musim yang teruk sebelumnya, tidak sabar untuk menerima jemputan akhir untuk satu perlawanan di Kooyong.

Bouchard, yang memasuki pusingan separuh akhir Terbuka Australia pada tahun 2015 dan suku akhir setahun kemudian, berkata prestasi tenisnya sekarang merupakan usaha yang sedang berkembang setelah mengubah rutin dan jurulatihnya di luar musim.

Bouchard pada masa ini dalam nombor 83 ranking dunia. – AP

“Ia sedang berkembang dengan baik,” katanya. “Saya hanya menumpu pada diri saya dan isu yang perlu saya atasi sepanjang perlawanan.”

Dia menambah satu kecederaan di punggung yang dialaminya di Perth pada minggu lalu tidak menimbulkan masalah, dengan pemain Kanada itu berminat untuk menghapus kesemua kenangan kempen tahun 2017 yang teruk.

“Saya tidak mahu merasa sebarang kesinambungan tahun 2017, ia benar-benar bukan tahun yang baik untuk saya. Saya bekerja keras di luar musim, mengubah sesetengah perkara,” katanya.

Dalam perlawanan lain pada acara tersebut, pemain Perancis Richard Gasquet memenangi perlawanan keduanya, mengalahkan pemain Australia Matthew Ebden 6-4, 7-6 (7/4)

“Ia adalah sangat baik dalam keadaan berkenaan,” kata pemain berusia 31 tahun itu. “Saya sedang membuat persiapan untuk permainan saya pada kejohanan Terbuka dan beraksi di sana.”

Gasquet, yang tidak pernah melepasi pusingan keempat Terbuka Australia, menambah: “Saya akan meneruskan latihan. Saya tidak mengalami kecederaan dan saya rasa hebat.” – AFP