Boustead dilantik sebagai pengedar trak Volvo dan UD

Boustead dilantik sebagai pengedar trak Volvo dan UD

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Volvo Group telah melantik Boustead Sdn Bhd sebagai pengedar Trak Volvo dan Trak UD di Brunei Darussalam, dalam satu majlis kerjasama yang dirasmikan hari ini.

Perasmian kerjasama itu telah diadakan di Dewan BRIDEX, yang turut menyaksikan model-model Trak volvo dan Trak UD dipamerkan di hadapan selepas dilancarkan oleh tetamu kehormat majlis, Pengarah Urusan Brunei Shell Marketing Sdn Bhd, Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dan disaksikan bersama Pengarah Urusan Boustead Sdn Bhd, Dato Lim Beng Thai, ahli pengurusan kanan dari Volvo Group dan Boustead Sdn Bhd serta para jemputan yang terdiri daripada ahli-ahli perniagaan.

Selain mengedar trak-trak dua jenama berkenaan untuk negara ini, kerjasama ini juga akan termasuk memberi perkhidmatan kepada pemilik trak Volvo dan UD di Pusat Perkhidmatan Trak Volvo dan Trak UD di Pelabuhan Muara, Brunei.

Kawasan kemudahan komersial tersebut merangkumi keluasan 25,000 meter persegi, yang termasuk gudang peralatan, lif kargo, bengkel kereta untuk empat buah trak, alat istimewa, bilik pembaikan enjin, bilik latihan dan kawasan perkhidmatan pelanggan.

Pengiran Shamhary melancarkan model-model Trak Volvo dan Trak UD yang diedarkan oleh Boustead Sdn Bhd.
Pengiran Shamhary melancarkan model-model Trak Volvo dan Trak UD yang diedarkan oleh Boustead Sdn Bhd.

Pengurus Eksekutif Boustead Sdn Bhd, Lim Jin Lee ketika berucap menyatakan, kenderaan komersial merupakan kunci utama keuntungan sesebuah syarikat kerana pengedaran dan penghantaran menjadi peranan penting dalam pengurangan kos dan meningkatkan keuntungan.

“Dengan lebih 40 tahun pengalaman dalam industri automotif, kami yakin menjadi pengedar khas Trak Volvo dan Trak UD. Kami berharap akan dapat memenuhi keperluan perniagaan pelanggan kami,” tambahnya lagi.

Antara model Trak UD Quon.
Antara model Trak UD Quon.

Sementara itu, Presiden Volvo Group Malaysia, Mats Nilsson pula berkata, “Kami berbangga melantik Boustead Sdn bhd sebagai pengedar Trak Volvo dan Trak UD di Brunei. Volvo ketika ini sedang giat menjalankan pelan strategi hubungan rangkaian dan kerjasama dengan Boustead untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan kami.

“Boustead Sdn Bhd yang mempunyai reputasi tinggi di Brunei dan Volvo yang terkenal di seluruh dunia, akan dapat menubuhkan kerjasama yang kukuh, menawarkan produk dan perkhidmatan yang mampu memberi layanan bagi memenuhi keperluan dalam pasaran ini,” ujarnya.

Trak UD mempunyai keistimewaan daripada segi penjimatan minyak dan ketahanannya.

Jenama UD telah ditubuhkan di Jepun pada tahun 1935 yang mana sebelumnya ia dikenali sebagai Nissan Diesel, dan kini menjadi salah satu ahli Volvo Group sejak tahun 2007.