Boustead, Megastrike anjur Kejohanan Boling Nissan Bowler

Boustead, Megastrike anjur Kejohanan Boling Nissan Bowler

Mejar (B) Hajah Sharifah Hazlina (tiga kiri) dan Alvin Kho (tiga kanan) bergambar ramai bersama pegawai serta  kakitangan Boustead Sdn Bhd dan MegaStrike Bowl Sdn Bhd selepas majlis penandatanganan perjanjian.
Mejar (B) Hajah Sharifah Hazlina (tiga kiri) dan Alvin Kho (tiga kanan) bergambar ramai bersama pegawai serta kakitangan Boustead Sdn Bhd dan MegaStrike Bowl Sdn Bhd selepas majlis penandatanganan perjanjian.

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jun – Ke arah meningkatkan kemahiran dalam sukan boling, di samping dapat menguji tahap kehandalan para peminat sukan tersebut, Boustead Sdn Bhd dengan kerjasama MegaStrike Bowl Sdn Bhd akan menganjurkan Kejohanan Boling Nissan Bowler yang bermula dari 3 Jun hingga 4 September di MegaStrike Bowl, The Airport Mall, Jalan Berakas.

Kejohanan yang julung-julung kali diadakan itu akan berjalan selama tiga bulan, di mana 24 pemain terbaik akan beraksi pada pusingan kedua selepas pusingan kelayakan pada 3 September dan pusingan akhir atau ketiga pada 4 September nanti.

Sehubungan itu, hari ini diadakan Majlis Penandatangan Perjanjian antara pihak Boustead Sdn Bhd dan MegaStrike Bowl Sdn Bhd, dimana menandatangani bagi pihak Boustead Sdn Bhd ialah Pengurus Pemasaran Boustead, Alvin Kho dan bagi pihak MegaStrike Bowl Sdn Bhd ialah Pengarah Urusannya, Mejar (B) Hajah Sharifah Hazlina.

Alvin dalam temubual ringkas bersama Media Permata menyatakan penghargaan di atas peluang yang diberikan kepada Boustead Sdn Bhd oleh MegaStrike Bowl untuk sama-sama menaja dan menganjurkan kejohanan yang unik itu.

Beliau berkata kejohanan itu bukan sahaja merupakan salah satu projek tanggungjawab sosial korporat bagi Boustead kepada masyarakat tetapi juga merupakan usaha untuk mempromosikan sukan boling dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Mejar (B) Hajah Sharufah Hazlina menyatakan penghargaan kepada Boustead Sdn Bhd kerana berkesudian untuk bersama-sama menganjurkan kejohanan seumpama ini buat kali pertama yang diharap ia bukan sahaja dapat mempromosikan sukan boling kepada masyarakat tetapi juga untuk menguji kebolehan dan kemahiran pemain-pemain boling di Brunei.

Beliau juga menyatakan bahawa menerusi kegiatan sukan, ia boleh menjadi platform yang baik untuk mengangkat industri sukan di Brunei dengan menggalakkan penyertaan golong belia dalam kegiatan yang berfaedah bagi melahirkan Generasi Berwawasan.

Kejohanan itu juga merupakan peluang yang unik bagi kedua-dua pihak untuk mempromosikan jenama dan produk masing-masing kepada pasaran tempatan.

Pengarah Kejohanan, Ari Adriansah pula menjelaskan bahawa penyertaan bagi kejohanan itu dibukakan kepada semua penduduk Brunei yang mempunyai kad pengenalan kuning, merah dan hijau, di mana mereka yang berminat boleh membuat pendaftaran di kaunter MegaStrike Bowl dengan yuran pendaftaran sebanyak $30.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui mengenai kejohanan tersebut, mereka bolehlah terus berkunjung ke MegaStrike Bowl bagi keterangan lanjut.