BP catat kerugian

BP catat kerugian

FILES-BRITAIN-ENERGY-EARNINGS-BUSINESS-BP-OIL

LONDON, 26 Julai – BP menghadapi satu lagi kerugian bersih pada suku kedua tetapi kini telah menentukan batasnya di bawah krisis tumpahan minyak Teluk Mexico 2010, kata syarikat minyak Britain hari ini.

Syarikat itu mencatat satu kerugian selepas cukai berjumlah AS$1.4 bilion untuk tiga bulan sehingga Jun, yang bagaimanapun berbanding dengan kerugian yang jauh lebih besar sebanyak AS$5.8 bilion untuk suku kedua 2015.

BP juga mencatat bayaran bukan operasi selepas cukai sebanyak AS$2.8 bilion untuk kos yang dikaitkan dengan krisis minyak. Ia termasuk bayaran bukan operasi sebelum cukai sebanyak AS$5.2 bilion.

Syarikat minyak itu telahpun mendedahkan pada awal bulan ini bahawa kos terakhir untuk tumpahan mencecah AS$61.6 bilion, termasuk keputusan terbaru suku kedua.

BP menambah perbelanjaan modal pada tahun ini kini dijangka merosot di bawah AS$17 bilion.

“Kami berasa amat gembira kerana berjaya menentukan batas di bawah liabiliti bahan untuk Deepwater Horizon,” kata ketua eksekutif Bob Dudley dalam kenyataan keputusan.

“Kami akan sentiasa sedar tentang apa yang telah kami pelajari daripada kemalangan tragik itu. BP hari ini adalah syarikat yang lebih mantap, lebih tertumpu dan lebih disiplin.

“Kami terus mengembang dan memaju portfolio yang kukuh dan seimbang dan kami mengendali perniagaan untuk nilai berbanding kuantiti.

“Tumpuan kami pada modal dan disiplin kos membantu BP menjadi lebih efisien sementara mengekal pelaburan yang diperlukan untuk pertumbuhan masa depan.”

Pada 2010, satu letupan di pelantar minyak Deepwater Horizon membunuh 11 orang di luar pantai Louisiana dan menyebabkan 134 juta gelen minyak memancut keluar ke perairan Teluk. – AFP