BPC tambah RM2 bilion

BPC tambah RM2 bilion

GEBENG, 16 Okt – BASF Petronas Chemicals Sdn Bhd (BPC) telah membuat pelaburan tambahan RM2 bilion bagi membangunkan tiga kilang baharu di kompleks petrokimia bersepadu di sini.

Ini meningkatkan jumlah pelaburannya di kawasan tersebut kepada RM5.4 bilion, kata Pengarah Bahagian Pengurusan Perniagaan, Miguel Peña.

Beliau juga berkata, kilang baharu terlibat, iaitu Kompleks Ramuan Aroma Bersepadu, Asid 2-Ethylhexanoic dan Polyisobutene Amat Reaktif, akan beroperasi secara berperingkat-peringkat mulai suku keempat 2016.

“Pertumbuhan pasaran produk daripada kilang terlibat adalah stabil dan berterusan. Jumlah penggiat dalam bidang ini adalah terhad dan kami berada dalam kedudukan baik.

“Kilang tambahan ini juga diperlukan bagi mengekalkan bekalan pasaran,” katanya kepada pemberita yang melawat kilang berkenaan pada Jumaat.

Peña berkata, pelaburan itu juga akan mewujudkan 140 peluang pekerjaan bernilai tinggi di samping melahirkan lebih 1,000 kontraktor tempatan.

Petronas Chemicals mempunyai kepentingan 40 peratus dalam BPC dan selebihnya dimiliki syarikat kimia Jerman, BASF SE.

Peña berkata, sebahagian besar pelaburan tambahan RM2 bilion itu adalah untuk Kompleks Aroma, yang menghasilkan produk kimia perisa dan haruman. “Produk daripada segmen Aroma akan menstabilkan keuntungan BPC,” tambah beliau.

Menurutnya, produk daripada kompleks petrokimia bersepadu itu akan dipasarkan ke seluruh dunia dengan Asia menjadi pasaran utama, berikutan peningkatan jumlah penduduknya.

Sementara itu, Ketua Perancangan Strategik dan Perniagaan Kumpulan Petronas Chemicals, Abdul Aziz Othman berkata, syarikat itu akan terus mengkaji pelbagai peluang berpotensi di kawasan lain.

“Ketika kami bergerak ke depan, kami perlu memastikan kawasan ini kekal kompetitif. Perbincangan sentiasa diadakan bagi menambah nilai, tetapi kami tidak mengehadkannya kepada kawasan ini sahaja. Mungkin akan ada pelaburan lagi di Pengerang, Johor,” tambahnya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA