BPIS sertai WITCX 2015 di Kuala Lumpur

BPIS sertai WITCX 2015 di Kuala Lumpur

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Okt – Pengarah Jabatan Mufti Kerajaan, Dato Paduka Ahmad Bukhari bin Pehin Siraja Khatib Haji Abu Hanifah, bersama dua orang pegawai jabatan berkenaan, hari ini, telah berlepas ke Kuala Lumpur bagi mengikuti Persidangan dan Ekspo Pelancongan Islam Sedunia (WITCX) 2015 yang berlangsung di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), bermula esok (27 Oktober) hingga 30 Oktober.

Menurut satu kenyataan di sini, pada persidangan itu, Dato Paduka Ahmad Bukhari akan membentangkan kertas kerja beliau bertajuk Islamic Knowledge Heritage Tourism.

Penyertaan Jabatan Mufti Kerajaan berkenaan adalah sebahagian daripada delegasi Pusat Promosi Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.

Delegasi negara terdiri daripada wakil Pusat Promosi Pelancongan, Jabatan Mufti Kerajaan, Darussalam Holdings dan Syarikat Penerbangan Royal Brunei (RB), dengan misi mereka untuk terus mempromosikan Brunei sebagai ‘The Kingdom of Unexpected Treasure’.

Pavilion Brunei akan memberigakan Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BPIS) yang mana, masa ini bangunan kekalnya sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada suku pertama tahun 2017.

Dato Paduka Ahmad Bukhari bersama dua orang pegawai jabatan berkenaan yang akan menyertai WITCX 2015 di Kuala Lumpur.
Dato Paduka Ahmad Bukhari bersama dua orang pegawai jabatan berkenaan yang akan menyertai WITCX 2015 di Kuala Lumpur.

BPIS, dengan bangunan kekalnya itu, sudah pun dianggap akan menjadi satu tarikan pelancongan, destinasi sehenti pelancongan Islam di Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan itu lagi, WITCX merupakan projek tahunan Muslim World Biz, dan tahun ini ia diadakan sempena Muslim World Biz keenam.

WITCX merupakan persidangan dan pameran terkemuka mengenai pelancongan, yang mana, pamerannya dianggap sebagai wadah berkesan mempamerkan kekayaan warisan budaya dan destinasi, produk dan perkhidmatan pelancongan moden.

Manakala persidangannya pula merupakan kesempatan membuat jaringan kerja dan memperoleh maklumat mendalam mengenai pelbagai dan istimewanya pelancongan Islam, kerana setiap tahun ia berjaya menyatukan pemimpin dan pihak-pihak berpengaruh dalam pelbagai industri dari seluruh dunia, di mana masing-masing menjangka akan adanya perkembangan dan perubahan untuk dibuat strategi mengenainya.

ARTIKEL YANG SAMA