BPIS sertai WITCX 2016 di Kuala Lumpur

BPIS sertai WITCX 2016 di Kuala Lumpur

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Dua orang pegawai kanan Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BPIS) hari ini berlepas ke Kuala Lumpur bagi menyertai Persidangan dan Ekspo Pelancongan Dunia Islam (WITCX) di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) bermula 18-22 Oktober ini sempena Muslim World Biz 2016 ke-7.

Mereka ialah Pegawai-pegawai Tugas Khas Kanan Jabatan Mufti Kerajaan, Dato Paduka Ahmad Bukhari bin Pehin Si-Raja Khatib Abu Hanifah dan Penolong Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Mufti, Awang Rawandi Rafie bin Haji Awang Yahya.

Acara tahunan anjuran Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan itu memfokuskan strategi mempengaruhi pelancong-pelancong Muslim yang dijangka semakin meningkat sehingga 150 juta orang pada tahun 2020 dengan perbelanjaan sebanyak AS$200 billion.

Dato Paduka Ahmad Bukhari akan menjadi salah seorang panel dalam Persidangan OIC-World Islamic, dengan tajuk perbincangan The Millenials Traveler Domination – How Does It Affect the Evolution of Halal Tourism.

Persidangan WITCX 2016 ini akan menjadi wadah berinteraksi antara perwakilan daripada pelbagai institusi dan industri pelancongan Islam yang sudah tentu memberikan peluang-peluang perniagaan, maklumat pelancongan Islam yang luas dan inovasi untuk perkembangannya.

Awang Rawandi dan Dato Paduka Ahmad Bukhari menghadiri WITCX di Kuala Lumpur.
Awang Rawandi dan Dato Paduka Ahmad Bukhari menghadiri WITCX di Kuala Lumpur.

Manakala Ekspo WITCX 2016 pula akan menjadi wadah untuk mempamerkan produk dan khidmat destinasi pelancongan Islam yang diselusuri daripada kekayaan warisan bangsa dan agama negara-negara OIC.

Pameran BPIS di Ekspo WITCX 2016 akan menjadi sorotan pameran Brunei yang akan memberigakan BPIS yang masa ini bangunan kekalnya sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada suku pertama tahun 2017.

BPIS, dengan bangunan kekalnya itu, sudah pun dianggap akan menjadi satu tarikan pelancongan, pusat sehenti destinasi pelancongan Islam di Brunei Darussalam.

Delegasi Brunei ke WITCX 2016 ini juga disertai oleh Darussalam Holding, Freme Travel and Services dan Syarikat Penerbangan RB.

ARTIKEL YANG SAMA