BPK terima 28 pendaftaran baru

BPK terima 28 pendaftaran baru

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 8 Jan – Seramai 28 orang telah mendaftar bagi pembelajaran BGCE Peringkat ‘O’, Bahagian Pendidikan Komuniti (BPK) yang akan bermula Isnin depan pada sebelah malam di Sekolah Rendah Muhammad Alam di sini.

Manakala bagi pembelajaran BGCE Peringkat ‘A’ pula, pendaftarannya dijangka akan mula dibuka pada bulan Mac depan, selepas keputusan Peperiksaan BGCE Peringkat ‘O’ dan A 2015 dikeluarkan.

Sehubungan itu, taklimat kepada pelajar-pelajar yang akan memulakan pembelajaran BGCE Peringkat ‘O’, telah diadakan di Dewan Sekolah Rendah Muhammad Alam di sini, hari ini, dan disampaikan oleh Pegawai Akademik Bahagian Pendidikan Lanjutan/Komuniti Kementerian Pendidikan, Pengiran Mohammad Zainulariffin bin Pengiran Mohamad Hassan.

Dalam temu bual dengan Media Permata, Pengiran Mohammad Zainulariffin memberitahu, taklimat untuk memaklumkan kepada para pelajar mengenai beberapa perkara antaranya tentang kehadiran, jadual pembelajaran, permohonan peperiksaan selain turut disentuh berkaitan dengan penggunaan kelas dan juga disiplin berpakaian serta peraturan yang telah ditetapkan oleh bahagian pendidikan tersebut dan pihak sekolah serta sebagainya.

Menurut beliau, subjek yang ditawarkan bermula minggu depan adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sastera, Pengetahuan Ugama Islam, Matematik dan Kombinasi Sains.

Antara pegawai dari Bahagian Pendidikan Lanjutan/Komuniti yang hadir pada majlis taklimat.
Antara pegawai dari Bahagian Pendidikan Lanjutan/Komuniti yang hadir pada majlis taklimat.
Pengiran Mohammad Zainulariffin semasa menyampaikan taklimat kepada pelajar yang akan menyertai pembelajaran BGCE Peringkat ‘O’ 2016.
Pengiran Mohammad Zainulariffin semasa menyampaikan taklimat kepada pelajar yang akan menyertai pembelajaran BGCE Peringkat ‘O’ 2016.

Bagi Daerah Belait pada tahun ini, pembelajaran BPK yang sebelum ini dikenali sebagai Bahagian Pendidikan Lanjutan (BPL), akan diadakan di Sekolah Rendah Muhammad Alam Seria, yang mana sebelum ini ia diadakan di Sekolah Rendah Ahmad Tajuddin Kuala Belait.

“Memandangkan banyak permintaan daripada orang ramai, pembelajaran itu diadakan di kawasan Seria, bagi memudahkan para pelajar yang tinggal jauh dari kawasan Belait,” katanya.

Beliau seterusnya menyatakan, peningkatan jumlah pelajar menyertai BPK pada masa ini semakin menggalakkan, selaras dengan tema program yang mereka tawarkan ‘Belajar Tidak Mengenal Usia’ dan ramai dalam kalangan pelajar adalah mereka yang tidak lagi bersekolah pada siang hari, terdapat juga pelajar yang sudah berusia 30 hingga 40 tahun.

“Mereka yang menyertai pembelajaran ini, antaranya adalah untuk menambahkan lagi sijil akademik mereka, selain ada juga berhasrat untuk meningkatkan pengetahuan dan akademik mereka, baik yang sudah bekerja ataupun yang masih mencari pekerjaan,” katanya.

Mengikut laporan Jabatan Peperiksaan, keputusan 2013-2014 purata pelajar BPK yang lulus semakin meningkat iaitu bagi Peringkat ‘O’ dan ‘A’, kebanyakannya memperolehi 4 ‘O’, 3 ‘O’ dan juga 2 ‘O’ begitu juga dengan Peringkat ‘A’, ramai yang mendapat keputusan yang sama.

Pembelajaran BPK ini diadakan bermula Januari sehingga November, dengan kelas-kelas diadakan sebelah malam, manakala pada hari Jumaat dan Ahad ia diadakan pada sebelah pagi dan petang, pada waktu cuti kelepasan awam dan sepanjang bulan Ramadan kelas pembelajaran ditiadakan.

Dalam pada itu, pendaftaran bagi Peringkat ‘O’ 2016 masih lagi dibukakan dan mereka yang berhasrat untuk mendaftar perlu datang ke Jabatan Bahagian Pendidikan Komuniti di Simpang 347, Jalan Pasar Gadong, Bandar Seri Begawan. BPK menawarkan beberapa program antaranya Program Peningkatan Akademik BGCE ‘O’ dan ‘A’, Bahasa Arab, Inggeris, Jepun, Korea, Mandarin, Perancis, Bahasa Melayu bagi warga asing, dan Program Latihan Kemahiran seperti Masakan, Seni Reka Fesyen, Kraf Tangan, Anyaman dan sebagainya.

Kumpulan sasaran adalah dalam kalangan rakyat dan penduduk di negara ini yang berusia 15 tahun ke atas, termasuk pelajar tercicir, sudah berhenti sekolah, kakitangan kerajaan dan swasta, pesara dan suri rumah tangga.