Bradley bertarung Rios 7 Nov depan

Bradley bertarung Rios 7 Nov depan

LOS ANGELES, 17 Sept (Agensi) – Floyd Mayweather Jr. tegas dengan persaraannya. Manny Pacquiao pula masih dihantui kecederaan bahagian bahunya.

Kini wujud kekosongan bagi divisyen welterweight minggu ini, dan Timothy Bradley kemungkinan calon yang paling wajar untuk mengisinya.

Kejayaan menumpaskan Brandon Rios pada 7 November depan akan memantapkan lagi pencalonan Bradley bagi penguasaan tidak rasmi kategori seberat 147 paun tersebut.

“Saya tidak suka menyatakan bahawa saya merasakan seperti saya petinju welterweight terbaik dunia,” kata Bradley semalam di pusat bandar Los Angeles ketika mengumumkan pertarungan akan datangnya.

“Saya merasakan seperti saya salah seorang daripada mereka, tetapi saya mahu tumpaskan semua petinju dalam divisyen itu sebelum saya menyatakannya. Saya belum berdepan semua orang, tetapi saya yakin mampu menewaskan semua petinju dalam divisyen welterweight.”

Bradley (32-1-1, 12 KO) akan mempertahankan kejuaraannya ketika menentang Rios di Pusat Thomas and Mack di Las Vegas.

Pertarungan itu adalah satu lagi peluang bagi Bradley menunjukkan gabungan kemahiran teknikal dan penguasaan gelanggang ketika menentang Rios (33-2-1, 24 KO).

Bradley sudah menyenaraikan jurulatih Teddy Atlas untuk persediaan menentang Rios, yang merupakan permulaan baru bagi jurulatih berkenaan selepas menamatkan khidmat jurulatih terdahulu, Joel Diaz.

“Saya cuba untuk belajar bagaimana bertarung dengan cara yang berbeza, dan bagaimana membuat sesuatu dengan cara yang betul.

“Teddy sudah menunjukkan saya sesuatu yang tidak pernah saya ketahui mengenai sukan tinju sebelum ini, walaupun saya sudah lama berkecimpung dalam sukan ini,” kata Bradley.

ARTIKEL YANG SAMA