Bradley lawan terakhir Pacman

Bradley lawan terakhir Pacman

GENERAL SANTOS, Filipina, 5 Jan (AFP) – Juara tinju Filipina, Manny Pacquiao akan menamatkan karier legendanya selepas bertarung dengan Timothy Bradley, April depan untuk memberi tumpuan kepada karier politik sambil berharap dapat kembali bertarung menentang Floyd Mayweather.

Juara lapan gelaran dunia yang pernah mengatakan mahu bertanding untuk jawatan presiden Filipina itu yakin akan memenangi kerusi Senat pada pilihan raya Mei depan.

Pacquiao akan berdepan peninju welterweight Amerika Syarikat, Bradley buat kali ketiga pada 9 April, selepas tewas kepada pencabar terbesarnya, Mayweather dalam pertarungan paling mahal dalam sukan, Mei tahun lalu.

“Saya bersara daripada tinju untuk memberi tumpuan terhadap karier politik.

Pertarungan saya dengan Timothy Bradley akan menjadi yang terakhir,” kata Pacquiao dalam temubual di kediamannya semalam.

Manny Pacquiao (kanan) ketika melawan Floyd Mayweather tahun lepas. – Reuters
Manny Pacquiao (kanan) ketika melawan Floyd Mayweather tahun lepas. – Reuters

Ahli Parlimen berusia 37 tahun itu menolak laporan dia tidak akan bersara daripada sukan itu tanpa pertarungan semula dengan Mayweather, yang sudah bersara selepas menewaskannya.

“Saya tidak pernah berkata apa-apa seperti itu. Tiada siapa pernah menemubual saya mengenainya. Saya akan bersara selepas pertarungan pada 9 April,” katanya.

Pacquiao tewas dengan keputusan sebulat suara berdepan Mayweather, dengan dia bertarung bersama kecederaan yang kemudiannya memerlukan pembedahan.

Dia sudah memenangi 57 pertarungan, termasuk 38 secara knockout (KO), tewas enam serta dua seri dalam karier profesional menjangkau lebih 20 tahun selepas dibesarkan dalam kemiskinan.

ARTIKEL YANG SAMA