Brahim’s lebarkan sayap

Brahim’s lebarkan sayap

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Brahim’s Dewina Holdings Sdn Bhd, satu nama yang terkemuka di Malaysia dalam pembuatan makanan halal dan industri katering, secara rasmi melancarkan beras ‘Meals-Ready-To-Eat’ (MRE) Brahim’s dan buku resipinya ‘Malaysia’s favourite traditional recipes’, di Pusat Membeli-belah Times Square, Berakas, hari ini.

Buku resipi setebal 162 muka surat itu merangkumi kisah perjalanan Brahim’s dalam perniagaan makanan serta 42 resipi untuk menyediakan penyelesaian bagi mereka yang mempunyai kesuntukan masa, menawarkan bimbingan dan pilihan kepada pengguna dalam penyediaan makanan sama ada dengan cara memasak yang dipermudahkan atau mengikuti cara tradisional.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Datuk Ghulam Jelani bin Khanizaman.

Pengerusi Eksekutif Dewina Holdings, Datuk Seri Ibrahim bin Haji Ahmad Badawi, dalam ucapan alu-aluannya berkata, kedudukan Brunei sebagai salah satu daripada negara yang mengutamakan produk halal, ia akan menjadi medan bagi Brahim’s untuk menerajui dengan cara yang baru dalam penyediaan dan penggunaan makanan dengan beras MRE mereka.

“Produk Brahim’s bukanlah sesuatu yang baru di Brunei. Brunei adalah pasaran yang sangat penting bagi kami kerana standard halal yang ketat dan cita rasa yang sama dalam makanan, sejarah dan hubungan bersama-sama kita yang sudah lama,” tambah beliau.

Tetamu kehormat dan Nur Fatin ketika melancarkan Buku Resipi Brahim’s.
Tetamu kehormat dan Nur Fatin ketika melancarkan Buku Resipi Brahim’s.
Penyerahan sumbangan Brahim’s kepada Darussalam Holdings bagi musim Haji 2016.
Penyerahan sumbangan Brahim’s kepada Darussalam Holdings bagi musim Haji 2016.

Majlis hari ini turut menyaksikan penyerahan sumbangan Brahim’s kepada Darussalam Holdings bagi musim Haji 2016 serta demonstrasi memasak juga dipertunjukkan oleh cef-cef Brahim’s dalam menunjukkan cara memasak produk-produk Brahim’s.

Menurut Pengarah Pengurusan Kumpulan Dewina Holdings, Nur Fatin binti Datuk Seri Ibrahim terdapat sambutan yang amat menggalakkan bagi nasi MRE Brahim’s sejak ia mula-mula diperkenalkan kepada pasaran Malaysia pada tahun 2010 serta berharap beras MRE juga akan diterima baik oleh pengguna di Brunei.

“Nasi Briyani Ayam MRE kami telah diberikan Anugerah Emas bagi Inovasi oleh Institut Teknologi Makanan Malaysia pada tahun 2011. Ia adalah pertama kali Nasi Ayam Briyani MRE telah dihasilkan oleh sesiapa, dalam satu paket yang anda boleh bawa ke mana-mana dan boleh bertahan selama 18 bulan. Manakala jualan terbaik sepanjang masa kami ialah Nasi Goreng Kampung.

“Kami telah membuat menu beras kami bagi menarik minat pengguna terutamanya bagi suri rumah yang bekerja; untuk mempunyai pilihan bagi makanan yang dimasak di rumah. Ia memerlukan kerja penyediaan yang sangat sedikit.

“Sama ada anda boleh memanaskannya dalam ketuhar gelombang mikro selama dua minit atau meletakkannya di dalam air panas mendidih selama tujuh minit. Dan ia boleh dimakan di mana sahaja, pada bila-bila masa. Ia mempunyai nilai pemakanan yang baik dan tiada tambahan MSG, bahan pengawet atau pewarna tiruan.

Ia juga sesuai untuk pelancong, dan individu yang mempunyai masa yang suntuk dan mudah untuk ekspedisi perkhemahan dan aktiviti luar,” katanya sambil melahirkan keyakinan bahawa produk Brahim’s akan mempunyai masa depan yang cerah di Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA