Bravo bakal ganti Joe Hart di Etihad

Bravo bakal ganti Joe Hart di Etihad

LONDON, 16 Ogos – Manchester City bersedia menandatangani penjaga gol Barcelona, Claudio Bravo ketika kelab Sepanyol itu sedang mencari penggantinya.

City mengemukakan perjanjian 17 juta pound untuk Bravo dengan pemain antarabangsa Chile itu bersedia untuk menandatangani kontrak selama empat tahun di Etihad sekali gus menyaksikan penjaga gol nombor satu England, Joe Hart semakin hampir untuk keluar daripada skuad.

Juara Sepanyol itu berhasrat untuk menjual Bravo berbanding penjaga gol berusia 24 tahun, Marc Andre ter Stegen, namun bintang Jerman itu terpaksa berehat selama tiga minggu selepas kecederaan ligamen lutut, Khamis lalu.

(Dari kiri) Bravo, Suarez, Pique dan Messi menjalani latihan di Pusat Sukan Joan Gamper FC Barcelona di Sant Joan Despi, Sepanyol pada 1 Ogos lalu. Bravo mungkin menggantikan tempat Hart di Man City. – AP
(Dari kiri) Bravo, Suarez, Pique dan Messi menjalani latihan di Pusat Sukan Joan Gamper FC Barcelona di Sant Joan Despi, Sepanyol pada 1 Ogos lalu. Bravo mungkin menggantikan tempat Hart di Man City. – AP

Barcelona memulakan musim mereka Sabtu ini berdepan Real Betis dan mahukan pengganti Bravo sebelum bersetuju dengan apa-apa penjualan.

Malah, skuad bimbingan Luis Enrique sudah membuka perbincangan dengan Valencia untuk mendapatkan Diego Alves. Rundingan yang berlangsung semalam juga menyaksikan masa depan Hart tampak semakin suram di Etihad.

Pemain berusia 29 tahun itu digugurkan daripada skuad City pada perlawanan pembukaan Liga Perdana dengan Pep Guardiola menganggap dia tidak memiliki set kemahiran yang diperlukan untuk menjadi penjaga gol utama. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA