Bravo wira Chile

Bravo wira Chile

BARRANQUILLA, Colombia, 11 Nov – Claudio Bravo menjadi wira Chile ketika skuad itu terikat 0-0 pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dengan Colombia, sebelum dia dikeluarkan berikutan kecederaan kaki.

Bravo yang juga penjaga gol Manchester City dan kapten Chile, menyelamatkan dua percubaan berbahaya di babak pertama untuk juara Copa America itu meraih mata penting dalam cuaca panas di Barranquilla.

Namun Bravo berdepan detik buruk apabila dilihat seakan mengalami kecederaan otot pada babak kedua yang memaksa penjaga gol veteran Chile itu digantikan dengan Johnny Herrera pada minit ke-65.

Keputusan itu menyaksikan Colombia mengumpul 18 mata daripada 11 perlawanan dalam kempen kelayakan zon Amerika Selatan, manakala Chile menghimpun 17 mata. Empat perlawanan lain turut berlangsung hari ini termasuk aksi tumpuan antara Brazil dengan Argentina.

Tempoh pembukaan menyaksikan kedua-dua pasukan begitu berhati-hati, dengan Chile menguji gawang lawan apabila voli pertama Arturo Vidal dari tepi kawasan tersasar.

Bravo menyelamatkan gawangnya ketika menentang Colombia di Barranquilla kelmarin. – AFP
Bravo menyelamatkan gawangnya ketika menentang Colombia di Barranquilla kelmarin. – AFP

Colombia secara beransur-ansur mengatasi pelawat dan menguasai perlawanan untuk tempoh yang panjang sehingga memaksa Chile melakukan beberapa foul.

Charles Aranguiz menjadi pemain pertama mendapat teguran daripada pengadil Wilton Sampaio kerana mengasari pemain Colombia Edwin Cardona.

Daripada sepakan percuma yang berikutnya, James Rodriguez pertahanan tengah Oscar Murillo yang mana tandukannya ditepis melepasi palang oleh Bravo selepas 37 minit.

Enzo Roco menjadi pemain kedua Chile mendapat kad kuning pada minit ke-42 selepas mengasari Cardona ketika penyerang tengah berpangkalan di Mexico turun ke kiri.

Pada minit terakhir separuh masa pertama, Bravo sekali lagi menafikan percubaan Colombia. Sepakan percuma Rodriguez telah dikuis oleh Abel Aguilar dan rembatan jarak dekat Miguel Borja pula terkena tiang.

Malah Colombia menurunkan penyerang veteran Radamel Falcao pada permulaan separuh masa kedua tetapi penyerang Monaco itu gagal memecahkan kebuntuan.

Peluang terbaik tuan rumah datang kepada Rodriguez pada minit ke-90, namun rembatan bintang Real Madrid dapat diselamatkan oleh Herrera. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA