Brazil, AS adakan latihan ketenteraan menjelang Olimpik

Brazil, AS adakan latihan ketenteraan menjelang Olimpik

RIO DE JANEIRO, 30 Mac (Bernama) – Tentera Laut Brazil dan Amerika Syarikat memulakan sesi latihan ketenteraan bersama di Rio de Janeiro pada Selasa sebagai sebahagian persediaan menjelang Sukan Olimpik pada Ogos, lapor agensi berita China, Xinhua.

Kedua-dua pasukan tentera mengadakan simulasi menyelamat kapal yang dirampas pengganas di Teluk Guanabara, tempat bakal berlangsungnya acara perahu layar bagi temasya sukan terbesar global itu.

Latihan simulasi membabitkan penggunaaan sebuah kapal sokongan dengan dibantu dua kapal gerak cepat dan helikopter.

“Latihan kami merangkumi antaranya latihan menembak, pertempuran secara tertutup, pertolongan cemas dan komunikasi,” kata Kapten Tentera Laut Brazil Luis Guilherme Rabello, merangkap pegawai operasi yang bertanggungkawab dalam latihan simulasi itu.

Kerjasama yang turut disertai oleh agensi-agensi berkaitan lain itu akan berlangsung sehingga pertengahan April dalam usaha mempertingkatkan persediaan keselamatan menjelang Olimpik.

Menurut Rabello susulan peningkatan serangan keganasan di beberapa buah negara di dunia kebelakangan ini, pegawai bahagian keselamatan temasya sukan itu memutuskan perkara itu perlu disertakan dalam latihan dan perancangan.