Brazil belasah Bolivia

Brazil belasah Bolivia

NATAL, Brazil, 7 Okt – Neymar menjaringkan satu gol dan perancang kepada dua lagi untuk membantu Brazil menang bergaya 5-0 ke atas Bolivia pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 bagi Zon Amerika Selatan, di sini, kelmarin.

Jaringan antarabangsa ke-49 bintang Barcelona itu dalam penampilan ke-73 meletakkannya satu gol dari Zico dalam senarai penjaring terbanyak Brazil.

Masih berusia 24, Neymar boleh mencapai rekod sepanjang zaman Pele dengan 77 gol daripada 91 perlawanan dan tidak mustahil jika dia terus meledak pada kadar sekarang.

Ayam tambatan Brazil itu bagaimanapun digantikan pada pertengahan babak kedua di Estadio das Dunas dan meninggalkan padang diiringi tepukan gemuruh.

Neymar meraikan jaringan selepas membolosi gawang pasukan Bolivia semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia Rusia 2018 di Natal, Brazil, kelmarin. – AFP
Neymar meraikan jaringan selepas membolosi gawang pasukan Bolivia semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia Rusia 2018 di Natal, Brazil, kelmarin. – AFP

Kemenangan itu memberikan mereka keselesaan bagi menjamin tempat pada pusingan akhir 2018 di Rusia. Brazil kini berada pada kedudukan kedua dengan 18 mata selepas sembilan perlawanan.

Ini juga kemenangan ketiga berturut-turut selepas tiga perlawanan bagi Tite yang dilantik selepas Dunga dipecat Jun lalu.

Babak pertama menempatkan Brazil pada kedudukan selesa selepas Neymar, Philippe Coutinho, Filipe Luis dan Gabriel Jesus meledakkan gol untuk meletakkan tuan rumah mendahului 4-0.

Sementara Roberto Firmino pula menjaringkan gol ke-5 menerusi tandukan pada minit ke-75. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA