Brazil benam Argentina 3-0

Brazil benam Argentina 3-0

MONTEVIDEO, 11 Nov – Brazil membenam musuh tradisi mereka Argentina untuk mengukuhkan kempen kelayakan Piala Dunia 2018 Amerika Selatan awal pagi tadi sementara Uruguay mengekalkan tekanan mereka untuk mara ke peringkat akhir dengan kemenangan ke atas Ecuador.

Bintang Barcelona Neymar mengatasi rakan sekelabnya Lionel Messi dengan gol antarabangsanya ke-50 buat Brazil di Belo Horizonte apabila pemenang Piala Dunia lima kali itu menang 3-0 di Estadio Mineirao.

Ia adalah kepulangan yang manis ke tempat tersebut buat Brazil, yang sebelum ini dimalukan dengan keputusan 7-1 di tempat yang sama oleh Jerman pada separuh akhir Piala Dunia 2014.

Kejayaan Neymar itu diiringi oleh usaha menakjubkan oleh Philippe Coutinho dan jaringan di separuh masa kedua oleh Paulinho.

Kemenangan itu adalah kemenangan kelima berturut-turut dalam peringkat kelayakan di bawah pimpinan jurulatih baru Tite, yang mengambil alih jawatan Dunga yang dipecat pada bulan Jun selepas kegagalan kempen Copa Amerika Centenario, apabila Brazil gagal untuk meneruskan kemaraan dari peringkat kumpulan.

Doughlas Costa dikawal rapi oleh pemain pertahanan Argentina dalam perlawanan tersebut. - AFP
Doughlas Costa dikawal rapi oleh pemain pertahanan Argentina dalam perlawanan tersebut. – AFP

Brazil kini mempunyai 24 mata dari 11 perlawanan, satu mata di depan pasukan tempat kedua Uruguay yang kini mempunyai 23 mata.

Pasukan Brazil juga enam mata di depan pasukan tempat ketiga dan tujuh mata di depan pasukan Ecuador dan Chile, yang kini terikat sama 17 mata selepas 11 perlawanan.

Sementara itu, Argentina di luar kedudukan kelayakan di tempat keenam dengan 16 mata.

Juara dunia dua kali itu yang hanya memungut dua mata dari empat perlawanan kelayakan mereka kini berdepan perlawanan penting di

tempat sendiri menentang Colombia Selasa depan yang perlawanan tersebut mesti dimenangi bagi mengelakkan pasukan mereka terlalu jauh di belakang.

“Kami kalah namun masih hidup,” kapten Argentina Messi berkata. “Kami perlu melupakan situasi yang kami hadapi dan mula memikirkan mengenai Colombia. Jika kami mendapat keputusan baik menentang Colombia, ia akan membuat satu perbezaan besar.”

Pengurus Argentina Edgardo Bauza sementara itu mengakui dia tidak menjangkakan satu kekalahan teruk.

“Ia satu kekalahan teruk. Saya tidak fikir kami akan tewas 3-0, saya rasa ia akan menjadi satu perlawanan yang sengit.” – AFP