Brazil inginkan penyiasatan

Brazil inginkan penyiasatan

BRASILIA, Brazil, 29 Mei (AFP) – Brazil akan menjalankan penyiasatan dengan lebih teliti terhadap dakwaan yang membawa kepada penahanan tujuh pegawai FIFA, termasuk naib presiden Persekutuan Bola Sepak Brazil, kata menteri kehakimannya semalam.

Jose Maria Marin, 83, kedua tertinggi dalam persekutuan bola sepak negara itu, atau CBF, ditahan dalam satu serbuan awal pagi di sebuah hotel mewah Zurich, berikutan penyiasatan yang dijalankan oleh pejabat peguam negara AS yang mendakwa rasuah besar. Eksekutif badan penyiaran Brazil, Jose Margulies, 75, juga disenaraikan dalam kertas pendakwaan itu.

Skandal tersebut, yang menyaksikan AS mendakwa 14 orang, termasuk sembilan pegawai bola sepak, telah menggegarkan dunia bola sepak. Brazil berkata ia tidak akan bertoleransi terhadap sebarang salah laku jika dakwaan itu adalah benar.

“Jika terdapat bukti bahawa jenayah-jenayah di bawah undang-undang Brazil dilakukan, kami akan bertindak dengan tegas,” Menteri Kehakiman, Eduardo Crdozo memberitahu wartawan.

“Ia berada dalam kepentingan Brazil di mana segalanya adalah telus, dan semua orang yang terlibat berada dalam tindakan yang melanggar undang-undang akan dihukum menurut undang-undang,” katanya.

Cardozo berkata polis persekutuan Brazil sudah mengkaji sama ada mana-mana undang-undang negara telah dicabuli.

CBF menggantung Marin dari pertubuhan itu dalam masa beberapa jam penahanannya pada Rabu lalu, dan berkata dia akan terus diketepikan dari pertubuhan itu.

Dalam kenyataan lewat semalam CBF berkata ia akan memberikan ‘sokongan penuh’ kepada sebarang penyiasatan dan menambah ia akan menghantar dokumen-dokumen kepada pihak berkuasa Brazil dan memberikan kerjasama dengan penyiasatan itu.

ARTIKEL YANG SAMA