Brazil pantau ulat tiket Olimpik

Brazil pantau ulat tiket Olimpik

RIO DE JANEIRO, 6 April – pihak berkuasa di Brazil mula pening kepala apabila muncul individu menawarkan tiket menyaksikan temasya itu menerusi aplikasi dalam talian meskipun tiket rasmi belum dikeluarkan.

Ketua pegawai penyiasat Polis Rio de Janeiro, Gilberto Ribeiro berkata, 10 individu dikesan menggunakan media sosial untuk menjual 712 baucar Olimpik sebagai pertukaran mendapatkan tiket sebenar melebihi dua kali ganda harga sebenar.

Ribeiro berkata, kebanyakan baucar berkenaan untuk acara berprofil tinggi. Katanya, perbuatan menjual baucar melebihi harga asal salah di sisi undang undang Brazil.

“Saya fikir pihak polis perlu bertindak keras mengatasi gejala ini. Kami belum fikir perlu melakukan siasatan meluas, tetapi kami sedang memerhatikan perbuatan mereka dengan kerjasama rapat penganjur,’’ katanya kepada media di sini.

Kegiatan itu muncul ketika tuan rumah hanya berjaya menjual separuh daripada 3.5 juta tiket Olimpik yang diperuntukkan kepada warga Brazil menjelang pembukaan rasmi temasya berkenaan Ogos ini.

Jualan tiket untuk temasya Paralimpik kalangan warga Brazil juga hanya sekitar 12 peratus setakat ini. Sambutan hambar terhadap jualan tiket itu mungkin ada kaitan dengan kesuraman ekonomi yang melanda Brazil ketika ini selain wujud rasa bimbang terhadap kesan penularan virus Zika.

Begitupun, jurucakap penganjur mengakui jualan pasti melonjak minggu depan selepas undian acara bola sepak dikeluarkan.

Ribeiro juga mengakui pihaknya sudah mengenal pasti individu yang melanggar peraturan itu tetapi enggan mendedahkan nama pelakunya sambil mengakui ia dilakukan warga Sao Paulo dan seorang dari Rio dengan sembilan daripadanya adalah lelaki manakala seorang wanita. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan selama dua tahun. – Agensi