Brazil perlu ambil langkah sukar untuk pulih ekonomi

Brazil perlu ambil langkah sukar untuk pulih ekonomi

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) – Brazil, yang pernah menjadi antara ekonomi baru muncul paling pesat berkembang di dunia dan mesra pelabur, kini berdepan masa depan suram kerana kejatuhan harga komoditi dan kelembapan ekonomi global.

Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) menguncup 3.8 peratus pada 2015, paling teruk dalam tempoh 25 tahun, inflasi melonjak kepada 11 peratus dan defisit bajet meningkat kepada 10.3 peratus.

“Selepas bertahun-tahun mencatatkan pertumbuhan pesat, Brazil kini mengalami kelembapan sedikit disebabkan harga komoditi yang kurang memberangsangkan. Kami adalah pengeluar komoditi yang besar,” kata Menteri Penasihat Kedutaan Brazil Daniel Falcon Lins dalam satu temu bual dengan Bernama.

Negara Amerika Latin dengan penduduk kira-kira 209 juta orang itu mengeksport kopi, bijih besi, kacang soya, jagung, gula dan produk ternakan ke seluruh dunia.

Negara berkenaan yang mengalami pertumbuhan stabil antara 2002 dan 2008, mendapat manfaat sebahagian besarnya daripada pertumbuhan global dan permintaan untuk komoditi yang ketika itu teguh.

Brazil mencatatkan lebihan dagangan sebanyak AS$19.68 bilion pada tahun lepas tetapi eksport menyusut 14 peratus kepada AS$191.134 bilion.

China, yang mengalami kelembapan dan pengguna utama bijih besi merupakan destinasi eksport utama Brazil. Jumlah perdagangan dengan Beijing susut kepada AS$66.3 bilion pada 2015 daripada paras tertinggi sebanyak AS$83.3 bilion pada 2013. Oleh itu, kemerosotan permintaan komoditi telah menjejaskan harga dan ekonomi, kata beliau.

Mengenai kejatuhan harga minyak, beliau berkata walaupun Brazil adalah pengeluar petroleum kedua terbesar di Amerika Selatan pada 2014, selepas Venezuela, ekonominya tidak terlalu bergantung kepada hasil minyak.

“Kami menggunakan sebahagian besar minyak yang kami keluarkan,” kata Falcon, sambil menambah syarikat minyak yang dikuasai negara, Petrobas, merasai kesannya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Brazil mengimport gas, terutama dari negara-negara jiran seperti Bolivia dan bagi tujuan itu ia melabur dalam jumlah yang besar bagi infrastruktur untuk memudahkan perdagangan.

ARTIKEL YANG SAMA