Brazil teruskan momentum

Brazil teruskan momentum

LIMA, Peru, 16 Nov – Brazil merekod kemenangan keenam berturut-turut dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018, semalam selepas membenam Peru 2-0 menerusi jaringan Gabriel Jesus dan Renato Augusto.

Kejayaan menundukkan tuan rumah itu sekali gus meletakkan juara dunia lima kali itu di laluan terbaik untuk memperoleh tiket ke Rusia dengan baki enam perlawanan.

Selepas buntu pada babak pertama, pemain muda Manchester City Gabriel meletakkan Brazil di depan pada minit ke-57.

Pemain berusia 19 tahun itu sekali lagi mempamerkan magisnya apabila melakukan umpanan ke arah gol yang disempurnakan Augusto pada minit ke-78 yang bermula daripada hantaran menarik.

Pemain Brazil Gabriel Jesus (kiri) menjaringkan gol semasa menentang Peru dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Lima, kelmarin. – AFP
Pemain Brazil Gabriel Jesus (kiri) menjaringkan gol semasa menentang Peru dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Lima, kelmarin. – AFP

Kemenangan itu meletakkan Brazil di kedudukan teratas kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan dengan kelebihan empat mata di depan pencabar utama, Uruguay.

Brazil kini mengumpul 27 mata daripada 12 perlawanan namun dengan 18 mata masih boleh diburu setiap pasukan, masih terlalu awal untuk mengesahkan tempat Brazil di Rusia sudah selamat.

Pada kempen kelayakan 2014, 25 mata sudah mencukupi buat pasukan dari zon sama untuk meraih tiket pada edisi yang dianjurkan di Brazil. – AFP