Brazil tetap berbahaya

Brazil tetap berbahaya

SANTIAGO, Chile, 8 Okt (AFP) – Ketua jurulatih Chile, Jorge Sampaoli memberi amaran betapa Brazil yang ‘cedera’ tetap berbahaya serta menzahirkan kebimbangan mengenai dua tonggaknya, Alexis Sanchez dan Arturo Vidal menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018, awal pagi ini.

Juara baharu Copa America itu dijadual bertemu Brazil di ibu negaranya dengan tuan rumah terdesak untuk memperbaiki rekod buruk pertembungan menentang juara dunia lima kali itu.

Chile tidak pernah menewaskan Brazil sejak tahun 2000 namun mempunyai kelebihan berdasarkan situasi semasa kuasa besar bola sepak dunia itu yang masih dipalit kekecewaan pada dua kejohanan besar – Piala Dunia 2014 dan Copa America, Jun lalu.

Brazil tersingkir di suku akhir pada Copa America yang mengikuti duka kekalahan besar 7-1 di separuh akhir Piala Dunia di laman sendiri kepada Jerman, tahun lalu.

Begitupun, Sampaoli tetap bertegas Brazil masih lagi pasukan yang kuat dan mengakui dia lebih gemar andai kempen kelayakan Chile kali ini dimulakan dengan perlawanan bertemu pasukan lain.

Jorge Sampaoli mendengar soalan daripada wartawan semasa sidang akhbar kelayakan Piala Dunia menentang Brazil di Santiago semalam. – Reuters
Jorge Sampaoli mendengar soalan daripada wartawan semasa sidang akhbar kelayakan Piala Dunia menentang Brazil di Santiago semalam. – Reuters

“Memulakan kempen kelayakan menentang Brazil adalah senario paling buruk,” kata Sampaoli. “Mereka masih lagi kuasa besar dunia, di sebalik segala kritikan, mereka mempunyai pemain-pemain elit.

Memulakan kempen menentang Brazil atau Argentina lebih berisiko berbanding bermain dengan pasukan lain,” katanya.

Sampaoli dalam pada itu turut mendedahkan bintang Arsenal, Sanchez dan pemain tengah Bayern Munich, Vidal berdepan kecederaan.

Vidal ada lebam di lutut manakala Sanchez cedera pangkal paha ketika pertembungan membabitkan Arsenal dan Manchester United, Ahad lalu.

Vidal minggu ini berlatih secara berasingan manakala Sanchez menjalani rawatan fisioterapi di kem latihan Chile.

“Keadaan mereka adalah sama. Saya tidak boleh memberi pengesahan pada ketika ini sama ada mereka akan cergas untuk bertemu Brazil,” kata Sampaoli.