Brazil tumbang di tangan Chile

Brazil tumbang di tangan Chile

SANTIAGO, 9 Okt (Reuters) – Chile memulakan kempen pembukaan Piala Dunia 2018 dengan sempurna, apabila dua jaringan lewat permainan memastikan mereka menang 2-0 untuk menumbangkan juara lima kali, Brazil di sini, semalam.

Eduardo Vargas menjaringkan gol pertama pada minit ke-72 buat menewaskan penjaga gol pelawat, Jefferson, sebelum penyerang Arsenal, Alexis Sanchez meledak gol kedua pada minit ke-89.

“Kami lakukan apa yang perlu,” kata penjaga gol Chile, Claudio Bravo menerusi siaran televisyen negara itu.

“Kami tahu Brazil adalah pasukan yang bagus dan boleh melakukan serangan balas pantas.

“Namun kami tahu bagaimana mereka bermain. Kami mendapat tiga mata, itu adalah menakjubkan,” tegasnya.

Pemain Chile, Eduardo Vargas (kanan) merembat lalu membolosi gawang Brazil untuk gol pertama pasukannya pada kempen pembukaan Piala Dunia 2018, di Santiago. – AFP
Pemain Chile, Eduardo Vargas (kanan) merembat lalu membolosi gawang Brazil untuk gol pertama pasukannya pada kempen pembukaan Piala Dunia 2018, di Santiago. – AFP

Kali terakhir Chile menewaskan Brazil adalah pada saingan kelayakan Piala Dunia 2000.

Brazil yang turun tanpa penyerang sensasi mereka, Neymar kelihatan kehilangan arah hampir kebanyakan masa sehingga mudah dihukum tuan rumah.

Mereka akan beraksi lagi pada Selasa ini untuk peringkat kelayakan serupa bertemu dengan Venezuela di gelanggang sendiri manakala Chile berkunjung ke Peru.

ARTIKEL YANG SAMA