Brazil tundukkan Mexico tanpa Neymar

Brazil tundukkan Mexico tanpa Neymar

SAN PAULO, 8 Jun (AFP) – Jaringan babak pertama pemain Liverpool, Philippe Coutinho dan Diego Tardelli menyaksikan Brazil yang tidak dibarisi Neymar, menewaskan Mexico 2-0 pada aksi pertama negara itu di laman sendiri sejak Piala Dunia tahun lalu.

Kemenangan pada aksi persahabatan antarabangsa itu hadir menjelang Copa America yang bermula minggu ini dengan Brazil membuat persiapan rapi bagi menambat kembali penyokong sendiri selepas detik muram di Piala Dunia 2010.

Di bawah bimbingan Dunga yang mengambil alih tempat Luiz Felipe Scolari selepas meletakkan jawatan tahun lalu, Brazil ketika ini sudah mengharungi lapan perlawanan berturut-turut dengan kemenangan.

Menjulang trofi Piala Dunia bersama Brazil pada 1994 selaku kapten, Dunga berjaya membimbing juara dunia lima kali itu menjuarai Copa America pada 2007. Ini kali kedua lagenda Brazil itu mengambil alih jawatan jurulatih selepas kali pertama pada 2006 hingga 2010.

Kali terakhir Brazil beraksi di gelanggang sama, Allianz Parque milik kelab Palmeiras itu ialah ketika skuad bimbingan Scolari tewas 3-0 kepada Belanda dalam penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Dunia.

Pemain Brazil, David Luiz (kanan) bersaing dengan pemain Mexico, Eduardo Herrera dalam aksi persahabatan antarabangsa di stadium Allianz Parque di Sao Paulo, Brazil, semalam. – AFP
Pemain Brazil, David Luiz (kanan) bersaing dengan pemain Mexico, Eduardo Herrera dalam aksi persahabatan antarabangsa di stadium Allianz Parque di Sao Paulo, Brazil, semalam. – AFP

Naymar tidak beraksi di Sao Paulo kerana baharu saja melengkapkan kempen Liga Juara-Juara Eropah bersama Barcelona di Berlin, Jerman.

“Kami tahu kami akan beraksi tanpa Neymar dan ia adalah peluang untuk melihat apa yang pemain lain lakukan,” kata Dunga.

“Tanpa sebarang keraguan, adalah penting untuk mengekalkan rentak kemenangan pada perlawanan pertama kami di laman sendiri sejak Piala Dunia.

“Kami berada di landasan yang betul, sekalipun kami belum mencapai apa-apa. Kami perlu terus meningkat dari sudut individu dan berpasukan,” katanya.

Dunga berkata, terdapat beberapa perubahan positif yang dilihat daripada pemainnya termasuk pemain tengah Donetsk, Fred, pertahanan Monaco, Fabinho dan penyerang Lazio, Felipe Anderson.

Brazil dijadualkan bertemu Honduras pada perlawanan persahabatan antarabangsa terakhir pada Rabu ini sebelum bertandang ke Chile.

Juara Copa America lapan kali itu diundi dalam Kumpulan C bersama Peru, Colombia dan Venezuela.

ARTIKEL YANG SAMA