Brexit: Britain tanggung akibat

Brexit: Britain tanggung akibat

PARIS, 7 Okt – Presiden Perancis Francois Hollande telah menghantar salah satu amaran paling lantang bahawa Britain perlu menanggung akibatnya kerana meninggalkan Kesatuan Eropah (EU), menambah kepada kebimbangan mendalam di pasaran kewangan.

Beliau menggesa ‘ketegasan’ oleh kuasa EU dalam rundingan Brexit untuk mengelak risiko bahawa negara lain mungkin berusaha mengikut jejak langkah Britain dan meninggalkan blok tersebut.

Komen itu menambah kebimbangan pasaran kewangan, di mana pound pada pagi ini mengalami kemerosotan terbesar sejak Britain mengundi dalam satu referendum Jun untuk meninggalkan EU.

“Terdapatnya ancaman, terdapatnya risiko, terdapatnya pengorbanan, jika tidak kami akan berada dalam rundingan yang tidak akan berakhir dengan baik, dan akan mempunyai kesan ekonomi dan manusia,” kata beliau dalam satu ucapan pada petang semalam.

“Britain telah memutuskan mengenai Brexit, saya percaya ia adalah Brexit yang sukar. Kami mesti meneruskan dengan semangat Britain untuk keluar daripada Kesatuan Eropah.

Francois Hollande (tengah), Presiden Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Juncker (kanan) dan bekas Perdana Menteri Itali, Enrico Letta berpegang tangan ketika ulang tahun ke-20 institut Jacques Delors di Paris. – AFP
Francois Hollande (tengah), Presiden Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Juncker (kanan) dan bekas Perdana Menteri Itali, Enrico Letta berpegang tangan ketika ulang tahun ke-20 institut Jacques Delors di Paris. – AFP

“Kami perlu mempunyai ketegasan” jika tidak “prinsip Kesatuan Eropah akan disoal” dan “negara lain atau parti lain akan berkeinginan untuk meninggalkan Kesatuan Eropah demi menerima faedah tanpa kesan negatif atau peraturan.”

Hollande menyampaikan ucapan itu untuk menandakan ulang tahun ke-20 penubuhan Institut Jacques Delors, kumpulan pemikir yang ditubuhkan oleh bekas presiden Suruhanjaya Eropah.

Beliau berkata delors “juga telah menghadapi krisis yang dicetuskan oleh United Kingdom,” mendapati mendiang perdana menteri Britain Margaret Thatcher pada 1980 berjaya mendapatkan satu rebet ke atas sumbangan EU bernilai berbilion pound setiap tahun.

Thatcher “mahu kekal dalam Eropah, namun menerima satu cek sebagai tukaran,” kata beliau.

“Hari ini, Britain mahu keluar, namun tidak mahu membayar apa-apa. Ia adalah mustahil.” – AFP