Brexit tiada impak besar kepada ekonomi Malaysia

Brexit tiada impak besar kepada ekonomi Malaysia

PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) – Kesan pungutan suara Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU) atau Brexit, tidak mempunyai impak yang besar ke atas pertumbuhan ekonomi Malaysia, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata ini disebabkan ekonomi negara berada pada landasan yang betul dengan mengekalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar empat hingga 4.5 peratus tahun ini.

Katanya negara juga mencatat pertumbuhan ekonomi 4.2 peratus bagi suku pertama tahun ini, selain ringgit Malaysia semakin kukuh pada RM3.9 berbanding AS$1.

“Dengan musim perayaan dan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kita jangkakan penggunaan domestik tetap kukuh, serta pelaburan negara luar meningkat.

“Impak Brexit itu lebih tertumpu kepada UK dan negara Eropah. Malaysia lebih amalkan kepelbagaian eksport ke China, India dan Timur Tengah. Oleh itu impak Brexit ke atas Malaysia sangat minimum,” katanya kepada pemberita selepas menutup Program ‘Volunteering for International Professionals (VIP) 2016 di sini hari ini.

Mengenai program VIP 2016, Mohd Irwan berkata ia akan diperluaskan kepada negara berpendapatan rendah di ASEAN seperti Kemboja, Laos dan Indonesia, dalam menyumbang kepakaran terhadap pembangunan sosial dan ekonomi negara terbabit.

“Sukarelawan-sukarelawan dari Malaysia dan negara lain boleh pergi ke kampung dan kawasan yang memerlukan pertolongan untuk meningkatkan taraf hidup dan pendapatan serta menyediakan persekitaran yang sesuai dan senang untuk kehidupan penduduk.

“Jadi, program ini boleh membawa manfaat kepada komuniti ASEAN, dan sekiranya pendapatan komuniti ASEAN meningkat dan hidup senang, maka ia merupakan usaha baik untuk membuka pasaran antara negara ASEAN itu,” katanya.

Menurut Mohd Irwan, peserta program ini berjaya melaksanakan sembilan projek dalam tempoh empat bulan (bermula 14 Mac) melibatkan rakyat dengan kos berpatutan iaitu lebih kurang RM1.8 juta namun memberi impak tinggi kepada pembangunan rakyat.

“Semua projek ini berasaskan rakyat. Kalau kerajaan hendak melaksanakan program seperti ini, ia akan melibatkan kos ratusan juta.

“Jadi, projek berimpak tinggi itu berasaskan rakyat, kerana kita mahu rakyat hidup senang serta mahu mereka ubah pemikiran bagaimana hendak menyesuaikan diri dengan keadaan ekonomi negara dan dunia yang berubah,” jelasnya.