Brexit tidak beri kesan ketara ke atas penarafan M’sia

Brexit tidak beri kesan ketara ke atas penarafan M’sia

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Keputusan United Kingdom (UK), untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) tidak menjejaskan penarafan kredit kedaulatan Malaysia, masing-masing pada gA2/stabil dan seaAAA/stabil ketika ini, pada skala penarafan global serta ASEAN.

RAM Ratings dalam satu kenyataan, Malaysia dijangka tidak menghadapi kesan langsung yang ketara khususnya terhadap permintaan luarnya dari UK, susulan kelembapan ekonominya berikutan sumbangan eksport Malaysia ke negara itu hanya berjumlah lebih satu peratus sahaja.

Agensi penarafan itu berkata, Malaysia mungkin akan berhadapan dengan beberapa aliran keluar portfolio disebabkan oleh kesan ‘mengambil langkah selamat’ dalam keadaan yang tidak menentu.

Bagaimanapun, ini boleh diimbangi dengan peningkatan portfolio pelaburan, yang didorong oleh pelbagai tawaran kecairan yang disediakan melalui pengembangan dasar-dasar monetari bank-bank pusat di Eropah serta Jepun.

“Trend ini terlihat semasa krisis hutang kedaulatan Eropah, walaupun aliran pelaburan kemudian menjadi tidak menentu akibat perubahan sentimen para pelabur yang telah memberi kesan kepada aliran dana global.

“Selain daripada Bank Pusat Eropah, yang sudah pun berada dalam wilayah kadar faedah yang negatif, Bank of England dijangka akan membuat rangsangan kewangan untuk menangani risiko kerugian akibat Brexit,” katanya, sambil menambah bahawa aliran masuk portfolio di Malaysia dijangka meningkat di belakang tindakan ini.

Di samping itu, pelaburan langsung asing (FDI) dari Eropah (tidak termasuk UK) secara konsisten terus menjadi sumber utama pelaburan asing bersama-sama dengan Jepun dan Singapura, kata agensi penarafan itu. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA