Brexit tidak jejaskan ekonomi M’sia

Brexit tidak jejaskan ekonomi M’sia

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) – Perdagangan Malaysia dijangka tidak terjejas teruk dengan keputusan United Kingdom (UK) untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU), kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Beliau berkata hala tuju perdagangan global masih berada di landasan yang betul.

Bagaimanapun, situasi sekarang di Eropah mewajarkan satu pendekatan baharu dalam rundingan perdagangan, kata Ong kepada pemberita selepas melancarkan “Meneroka Peluang e-Dagang di China menerusi Seminar Platform Dalam Talian Industrial and Commercial Bank of China (ICBC)” di sini, hari ini.

UK dijangka keluar dari EU selepas referendum yang diadakan menunjukkan 51.7 peratus rakyatnya mengundi agar negara itu keluar daripada blok tersebut.

Ong juga berkata perkembangan terbaharu dalam EU itu akan memberi sedikit kesan kepada rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang sedang berlangsung antara Malaysia dan blok ekonomi itu.

Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian itu Tan Sri Rebecca Sta Maria berkata rundingan FTA Malaysia-EU akan diteruskan seperti yang dijadualkan lewat tahun ini.

Terdahulu dalam ucapannya pada seminar itu, Ong menggesa pengeksport tempatan memulakan e-Dagang agar dapat mengembangkan bahagian pasaran mereka di China.

Seminar itu adalah kerjasama antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia dan ICBC, yang menawarkan platform dalam talian ‘Rong E Gou’ bagi peserta Malaysia.