Britain akan bantu ribuan pelarian Syria

Britain akan bantu ribuan pelarian Syria

LISBON, 4 Sept (AFP) – Britain akan mengambil ribuan lagi pelarian Syria, kata Perdana Menteri David Cameron hari ini di tengah-tengah tekanan memuncak dalam dan luar negara untuk menangani krisis tersebut.

“Berdasarkan skala krisis dan penderitaan orang ramai, hari ini saya mengumumkan bahawa kami akan melakukan lebih dengan menyediakan penempatan semula bagi beribu-ribu lagi pelarian Syria,” ujarnya kepada para wartawan semasa lawatan ke Lisbon.

“Kami akan meneruskan pendekatan kami dengan membawa mereka dari kem pelarian,” tambahnya, merujuk kepada kem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sempadan Syria.

“Ini akan menyediakan mereka dengan laluan yang lebih selamat dan secara langsung ke United Kingdom (UK), daripada merisikokan perjalanan mereka yang sudah meragut ramai jiwa orang dengan cara tragik,” kata perdana menteri.

Cameron tidak menyatakan dengan jelas berapa banyak pelarian yang Britain akan terima, hanya mengatakan butiran lanjut akan diumumkan minggu depan dan skim penempatan semula itu akan ‘dikaji semula’.

Perdana Menteri David Cameron bercakap semasa kenyataan bersama di Istana St. Bento, Lisbon. – AFP
Perdana Menteri David Cameron bercakap semasa kenyataan bersama di Istana St. Bento, Lisbon. – AFP

“Britain akan bertindak rasional, menyediakan perlindungan bagi mereka yang memerlukan sementara berusaha bagi penyelesaian jangka panjang berhubung krisis Syria,” kata Cameron.

Britain telah berdepan tekanan memuncak untuk menerima bahagian besar pelarian Syria, terutamanya selepas penyiaran minggu ini yang menunjukkan imej menyayat hati mengenai budak kecil Syria berusia tiga tahun yang ditemui mati di sebuah pantai Turki.

Petisyen kepada parlimen menggesa Britain untuk menerima lebih banyak pelarian telah mengumpulkan hampir 360,000 tandatangan, sementara kumpulan pengkempen Avaaz mengatakan sekitar 2,000 warga Britain menjadi sukarelawan untuk menerima keluarga pelarian.

Lebih empat juta warga Syria telah lari daripada perang, dengan kebanyakan daripada mereka berlindung di negara jiran, Lubnan, Turki dan Jordan.

Britain juga memilih untuk tidak menyertai sistem kuota bagi penempatan pencari perlindungan dalam Kesatuan Eropah (EU) meskipun gesaan memuncak dalam EU bagi pengagihan adil.