Britain bentang butiran cukai

Britain bentang butiran cukai

LONDON, 12 April (AFP) – Menteri kewangan Britain dan ketua pembangkang parti Buruh semalam mengeluarkan butir-butir penyata cukai terbaru mereka selepas kontroversi selama beberapa hari ekoran penerbitan Kertas Panama.

Menteri kewangan George Osborne mempunyai pendapatan yang boleh dikenakan cukai sebanyak 198,738 pound pada tahun kewangan 2014/15, menurut satu kenyataan daripada akauntannya yang dikeluarkan oleh pegawai.

Selain daripada gajinya, ia termasuk 44,647 pound dalam bentuk dividen daripada syarikat kertas hias dinding dan fabrik yang ditubuhkan oleh bapanya dan 33,562 pound dalam pendapatan sewa daripada sebuah rumah di London yang dimilikinya bersama isterinya. Osborne membayar cukai pendapatan sebanyak 72,210 pound untuk tahun itu. Kenyataan yang disiarkan berkata beliau “tidak mempunyai kepentingan luar pesisir dalam bentuk saham atau dokumen lain.”

Penyata cukai ketua Buruh Jeremy Corbyn menunjukkan beliau mempunyai pendapatan tambahan berjumlah 1,850 pound untuk tahun itu, kebanyakannya bayaran kerana menyampaikan ceramah, selain daripada gaji parlimennya. Bagaimanapun, Corbyn didenda 100 pound oleh pihak berkuasa percukaian kerana lewat memfail penyata cukainya.

Gambar yang diambil dari House of Commons TV menunjukkan David Cameron membuat kenyataan kepada Dewan Rakyat atas kewangan peribadinya, di London, pada Isnin lalu, bersama George Osborne (kanan), dan Chris Grayling (kiri). – AFP
Gambar yang diambil dari House of Commons TV menunjukkan David Cameron membuat kenyataan kepada Dewan Rakyat atas kewangan peribadinya, di London, pada Isnin lalu, bersama George Osborne (kanan), dan Chris Grayling (kiri). – AFP

Perdana Menteri David Cameron dipaksa menerbit maklumat mengenai penyata cukainya pada hujung minggu selepas mengaku beliau memiliki saham dalam dana pelaburan mendiang bapanya yang berpangkalan di Bahamas. Ia dijual sebelum beliau menjadi perdana menteri pada 2010.

Perdana menteri semalam menyampaikan ucapan kepada Dewan Rakyat untuk kali pertama sejak skandal pelaburan luar pesisir meletus, dalam satu usaha untuk mengurangkan tekanan ke atas beliau berhubung isu cukai beliau. Beliau mempertahan kedudukannya dan mengumumkan satu perjanjian dengan beberapa pihak berkuasa percukaian untuk mewajibkan mereka berkongsi maklumat dengan polis dan pihak berkuasa penguatkuasan undang-undang.

Namun penggubal undang-undang Buruh Dennis Skinner dipaksa meninggalkan Dewan Rakyat oleh Speaker John Bercow setelah memanggil perdana menteri “Dave yang tidak boleh dipercayai.”

Kertas Panama telah mencetuskan datu perdebatan mengenai semua ahli politik perlu dipaksa menyiarkan penyata cukai mereka.

Ia akan menjadi satu perubahan besar di Britain di mana hanya segelintir orang yang telah melakukannya sehingga sekarang.