Britain dan sekutunya salahkan Rusia

LONDON, 13 Mac – Britain akan mengadakan rundingan baharu tergempar hari ini berhubung tindakan meracun bekas ejen warga Rusia di negara tersebut, dengan menggunakan agen saraf, selepas Amerika Syarikat (AS) dan NATO menyokong London untuk membabitkan Moscow dalam cubaan membunuh itu.

Ketika ketegangan diplomat meningkat, Rusia menafikan tuduhan penglibatannya dalam serangan ke atas Sergei Skripal dan anak perempuannya di barat daya England pada 4 Mac lalu.

Perdana Menteri Britain, Theresa May memberitahu parlimen bahawa ‘berkemungkinan besar’ Moscow adalah dalang dalam peracunan itu, sambil memberi tempoh kepada Rusia sehingga akhir hari ini untuk menjawab tuduhan itu, dalam ulasan yang telah mencetuskan spekulasi bahawa Britain menggesa sekutu-sekutunya menganjurkan respons bersama.

AS dan NATO telah mengeluarkan kenyataan dalam menyokong London, ketika kebimbangan meningkat berhubung penggunaan yang disifatkan oleh May sebagai agen saraf gred tentera yang dibuat oleh Rusia.

Skripal, 66 tahun dan anak perempuannya, Yulia, 33 tahun masih dalam keadaan kritikal di hospital selepas didapati tidak sedarkan diri di atas bangku di luar pusat membeli belah di Salisbury.

Para kakitangan kecemasan yang mengenakan sut biobahaya telah dihantar ke bandar yang lazimnya lengang, manakala kira-kira 500 orang yang mungkin telah bersentuhan minimum dengan agen saraf digesa mencuci pakaian dan barangan milik mereka sebagai langkah berjaga-jaga.

Setiausaha Negara AS, Rex Tilerson berkata Washington ‘penuh yakin’ dengan siasatan Britain, sambil menambah kata ‘hampir di luar pemahaman’ bahawa negara itu akan menggunakan bahan berbahaya seumpama itu di jalan raya umum.

“Kami bersetuju mereka yang bertanggung jawab – kedua-dua mereka yang melakukan jenayah itu dan mereka yang mengarahkannya – mesti berdepan kesan serius yang sesuai,” dia memberitahu para pemberita. – AFP