Britain dilanda banjir lagi

Britain dilanda banjir lagi

LONDON, 10 Dis – Hujan lebat semalaman hari ini menambah lagi kesengsaraan di beberapa bahagian barat laut England yang masih lagi dibadai Ribut Desmond, yang mengorbankan dua orang, dengan polis memberi amaran situasi itu masih lagi ‘di tahap bahaya’.

Britain mengerahkan kakitangan tentera, bot penyelamat dan sebuah helikopter tentera untuk menyelamatkan orang yang terperangkap oleh banjir yang melimpahi sebahagian negara itu pada hujung minggu, dengan bahagian barat laut paling teruk dilanda.

Sungai di kampung Glenridding, barat laut bandar Manchester, sekali lagi melimpahi tebingnya hari ini, mengakibatkan aliran air deras di seluruh jalan.

“Polis Cumbria ingin menggesa orang ramai Glenridding untuk berada di kediaman mereka bagi menjamin keselamatan keluarga dan diri mereka,” kata polis Cumbria.

“Walaupun air bah mulai surut, ia masih lagi di tahap bahaya dan akan meminta mana-mana orang awam untuk tidak berjalan atau melalui kawasan dibanjiri.”

Seorang wanita membersihkan kotoran di lantai pasar mini Glenridding yang dibanjiri selepas air sungai Ulls Water melimpahi tebingnya berikutan hujan lebat semalaman pada 10 Disember. – AFP
Seorang wanita membersihkan kotoran di lantai pasar mini Glenridding yang dibanjiri selepas air sungai Ulls Water melimpahi tebingnya berikutan hujan lebat semalaman pada 10 Disember. – AFP

Lebih 350 kakitangan tentera dikerahkan pada Ahad di bandar Carlisle untuk membantu memindahkan orang ramai ke tempat perhimpunan ketika air mencecah separas pinggang.

Seorang lelaki tua dilaporkan maut di London selepas dia ditiup angin ke laluan sebuah bas, menurut polis pada Sabtu.

Mayat seorang lelaki warga emas juga ditemui di Sungai Kent di Cumbria, kata polis, selepas laporan mengatakan lelaki itu jatuh ke dalam sungai.

Perkhidmatan kaji cuaca negara Met Office mengatakan rekod baru Britain telah ditetapkan bagi turunan hujan dalam tempoh 48 jam, dengan 405 milimeter hujan turun dalam masa 38 jam di Thirlmere di Cumbria.

Desmond adalah ribut keempat dinamakan yang melanda Britain dalam beberapa bulan kebelakangan.

Berikutan kritikan, Agensi Alam Sekitar mengatakan £45 juta (AS$68 juta) telah dibelanjakan ke atas pertahanan pada dekad lalu, dan menyifatkan hujan lebat itu sebagai ‘di luar yang diramalkan dan melebihi model-model’. – AFP