Britain, Indonesia mantap kerjasama perangi IS

Britain, Indonesia mantap kerjasama perangi IS

JAKARTA, 27 Julai (AFP) – Perdana Menteri Britain David Cameron memulakan lawatan ke Asia Tenggara hari ini dan bakal memeterai perjanjian perdagangan bernilai AS$1.2 bilion serta memantapkan kerjasama yang lebih dalam usaha menentang kumpulan Negara Islam (IS).

Cameron tiba di Indonesia pada persinggahan pertama lawatan empat hari, ditemani oleh 30 pemimpin perniagaan Britain dan Menteri Perdagangan, sebelum menuju ke Singapura, Vietnam dan Malaysia. Beliau akan menggunakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak untuk membincang apa yang digelarnya “musuh bersama” pejuang jihad IS, yang telah menawan sebahagian besar wilayah di Iraq dan Syria. Beratus-ratus warga Britain telah menyertai IS di Syria dan Iraq, sekali gus mencetuskan kebimbangan mereka mungkin melancarkan serangan di tempat sendiri sebaik sahaja pulang. Ancaman daripada pejuang jihad juga diberi tumpuan selepas IS mendakwa bertanggungjawab terhadap satu serangan ke atas sebuah hotel di Tunisia pada bulan lalu yang membunuh 30 warga Britain.

Indonesia, yang mempunyai paling ramai penduduk Islam di dunia dan telah bergelut dengan fahaman pelampau, bimbang sehingga 50 daripada rakyatnya telah diumpan ke Timur Tengah oleh IS, sementara rakyat Malaysia juga telah menyertai pejuang jihad. Dalam kata-kata sebelum lawatan, yang pertamanya di luar Eropah sejak dipilih semula pada Mei, Cameron berkata beliau akan berbincang dengan pemimpin Asia Tenggara mengenai :salah satu ancaman terbesar yang dihadapi oleh dunia.”

“Kami hanya akan menewaskan pengganas berkenaan jika kami mengambil tindakan di negara sendiri, luar negara dan Internet dan jika kami bersatu dengan negara di seluruh dunia menentang musuh bersama ini,” kata beliau.

Presiden Joko Widodo (kanan) berjabat tangan dengan Perdana Menteri British David Cameron sebelum perbincangan mereka di Istana Presiden di Jakarta pada 27 Julai 2015. – AFP
Presiden Joko Widodo (kanan) berjabat tangan dengan Perdana Menteri British David Cameron sebelum perbincangan mereka di Istana Presiden di Jakarta pada 27 Julai 2015. – AFP

Britain akan menawarkan kepakaran mengenai langkah pencegahan keganasan, tambah beliau, dan mungkin juga mempelajari dari Indonesia dan Malaysia mengenai apa yang telah mereka lakukan untuk mengatasi fahaman pelampau dan membina masyarakat yang bertolak ansur.

Dengan perdagangan menjadi tumpuan utama tatkala Britain berusaha mencari pasaran baru di Asia, Cameron berkata perjanjian bernilai lebih daripada 750 juta paun akan dicapai ketika lawatan.

“Dalam tempoh 20 tahun akan datang, 90 peratus daripada pertumbuhan global dijangka datang dari luar Eropah dan Britain mesti bersedia untuk mengambil peluang,” beliau dipetik sebagai berkata dalam media Britain.

“Itulah sebabnya saya gembira untuk membawa perniagaan Britain ke pasaran besar dan dinamik ini, memeterai perjanjian bernilai lebih 750 juta paun dan mewujudkan peluang untuk orang yang rajin di tempat sendiri.” Mengiringi Cameron pada lawatan adalah tokoh berpengaruh daripada perniagaan terkenal Britain termasuk pengeluar enjin Rolls-Royce dan pembuat peralatan pembinaan JCB.

ARTIKEL YANG SAMA