Britain ke separuh akhir

Britain ke separuh akhir

LONDON, 20 Julai – Andy Murray bangkit daripada satu set untuk menewaskan pemain Perancis Gilles Simon 4-6, 7-6 (5), 6-3, 6-0 semalam dan menempatkan Britain dalam pusingan separuh akhir Piala Davis untuk kali pertama dalam 34 tahun.

Murray, yang memenangi perseorangan pembukaan pada Jumaat dan seterusnya bergabung dengan abangnya Jamie untuk memenangi acara beregu kelmarin, memberikan Britain mata pendahuluan 3-1 dalam lima siri terbaik di gelanggang rumput di Kelab Queen’s. Perlawanan terakhir yang dijadualkan di antara James Ward dan pemain Perancis Jo-Wilfried Tsonga tidak dilangsungkan.

Perlawanan separuh akhir Kumpulan Dunia pertama Britain sejak 1981 akan diadakan di tempat sendiri menentang Australia pada 18-20 September.

“Sepanjang hujung minggu adalah hebat,” kata Murray. “Pasukan ini telah melakukan perkara menakjubkan. Kami mencatat prestasi yang lebih baik. Sekarang kami berada dalam pusingan separuh akhir dalam pertandingan terbesar dalam tenis.

Andy Murray membawa pasukan Britain ke separuh akhir Piala Davis. - Reuters
Andy Murray membawa pasukan Britain ke separuh akhir Piala Davis. – Reuters

“Saya berasa bangga untuk sampai ke tahap ini dan mudah-mudahan kami boleh bermain dengan cemerlang menentang Australia pada September.”

Murray mengakhiri kemenangan apabila pukulan kilas Simon tidak mengenai sasaran dan pemain Scotland itu tidak dapat menahan air mata ketika dia melompat-lompat di gelanggang dengan bendera Union Jack di tangan, sebelum memeluk kapten pasukan Leon Smith. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA