Britain keluar EU

Britain keluar EU

LONDON, 24 Jun (AFP) – Britain mengundi untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU), menggulingkan Perdana Menteri David Cameron dan memberikan tamparan hebat kepada blok berusia 60 tahun itu yang menyaksikan pasaran dunia menjunam hari ini.

Cameron mengatakan beliau akan meletak jawatan untuk memberi laluan kepada pemimpin baru seawal Oktober selepas pengundi memilih untuk keluar daripada blok pakatan 28 negara itu, mengingkari ramalannya mengenai bencana ekonomi dan pengasingan.

Rakyat Britain yang kebanyakannya bimbang mengenai peningkatan dalam penghijrahan, mengundi 52 peratus berbanding 48 peratus bagi pengundi kekal dalam blok itu dalam referendum bersejarah hari ini, satu langkah yang boleh mencetuskan risiko perpecahan antara kedua-dua United Kingdom (UK) dan EU.

“Saya tidak kira ia tepat bagi saya untuk cuba menjadi kapten yang mengemudi negara kita ke destinasi seterusnya,” kata Cameron dalam satu ucapan di luar Downing Street, ketika mata wang sterling, saham global dan harga minyak menjunam.

Britain menjadi negara yang pertama sekali meninggalkan EU selepas berdekad-dekad kesangsian ke atas matlamat untuk perpaduan politik, memberikan kemenangan mengejut bagi kumpulan antiretorik blok itu dalam kempen Brexit.

Penyusunan dalam akhbar kelihatan di London sebagai ilustrasi, menunjukkan muka depan akhbar London Evening Standard melaporkan peletakan jawatan Perdana menteri Britain David Cameron susulan keputusan UK mengundi keluar meninggalkan EU. Rakyat Britain mengundi keluar dari EU pada 24 Mei, menggulingkan perdana menteri dan mencetuskan tamparan hebat kepada blok berusia 60 tahun itu, mengakibatkan pasaran dunia menjunam. – AFP
Penyusunan dalam akhbar kelihatan di London sebagai ilustrasi, menunjukkan muka depan akhbar London Evening Standard melaporkan peletakan jawatan Perdana menteri Britain David Cameron susulan keputusan UK mengundi keluar meninggalkan EU. Rakyat Britain mengundi keluar dari EU pada 24 Mei, menggulingkan perdana menteri dan mencetuskan tamparan hebat kepada blok berusia 60 tahun itu, mengakibatkan pasaran dunia menjunam. – AFP

Canselor Jerman Angela Merkel menggelar keputusan itu sebagai satu ‘tamparan’ kepada Eropah manakala Presiden Perancis Francois Hollande mengatakan ia adalah ‘satu ujian besar.’

Namun Ketua Suruhanjaya EU Jean-Claude Juncker menidakkan bahawa ia adalah satu permulaan bagi penamatan EU, yang sudah pun terjejas akibat pewaham Euro, ekonomi dan krisis penghijrah.

Cameron yang mengetuai kempen untuk Britain kekal, mengatakan ia akan menjadi tanggungjawab penggantinya untuk memulakan rundingan rumit mengeluarkan Britain daripada EU, satu proses yang boleh berlarutan sehingga sedekad.

Pekempen tertinggi Brexit, Boris Johnson, bekas datuk bandar London dan seorang ahli politik pilihan bagi menggantikan Cameron, juga mengatakan ‘tidak perlu tergopoh-gapah’.

Namun ketua-ketua Eropah mengatakan negara itu yang pertama kali menyertai Komuniti Ekonomi Eropah dalam 1973, seharusnya memulakan proses itu ‘secepat mungkin.’

“Kami kini menjangkakan kerajaan UK untuk mempercepatkan kesan keputusan ini kepada rakyat Britain secepat mungkin, walau bagaimana pahit sekali pun proses itu,” menurut satu kenyataan bersama oleh ketua Suruhanjaya, Parlimen dan Majlis Eropah.

Ketua-ketua EU, satu blok yang lahir daripada tekad untuk membentuk perdamaian berterusan selepas Perang Dunia ke-2, akan mengadakan sidang kemuncak dua hari pada Selasa untuk memikirkan keputusan Britain itu.

“Kita berjaya melakukannya! Kita menang!” laung pekempen anti-EU dalam sebuah parti di Westminister ketika kemenangan ‘Keluar’ mula dikira masuk. “Keluar! Keluar! Keluar! laung mereka ketika subuh mula menginjak.

Di daerah kewangan Kota London, ramai orang lebih bersedih. Francesca Crimp yang bekerja di sebuah bank, menangis ketika dia mengatakan ‘khuatir’ dengan keputusan itu.

“Saya rasa kecewa yang bandar pelbagai budaya yang saya tinggal ini akan berubah secara drastik, dan dunia yang saya ketahui tidak akan sama seperti hari ini,” dia memberitahu AFP.

Keputusan – selepas satu kempen yang amat memecahbelahkan dan pahit — mengancam perpaduan UK, dengan Scotland dan Ireland Utara mengundi untuk kekal dalam EU.