Britain terus laksana peranan penting di Eropah

Britain terus laksana peranan penting di Eropah

BRUSSELS, 18 Julai – Menteri Luar Britain yang baru dan yang juga penyokong utama Brexit, Boris Johnson hari ini berjanji bahawa Britain akan terus berperanan penting di Eropah ketika dia mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Kesatuan Eropah di Brussels buat pertama kali.

Johnson yang lazimnya seorang periang itu berkelakuan baik selepas mengundang kemarahan rakan-rakannya sebelum referendum dengan memban-dingkan cita-cita EU bagi integrasi Eropah lebih hampir dengan cita-cita Adolf Hitler.

“Kita mesti memberi kesan kepada keinginan orang ramai dan keluar dari Kesatuan Eropah tetapi kami tidak akan mengetepikan peranan utama kami dalam penglibatan Eropah,” Johnson memberitahu para pemberita.

Johnson berkata dia telah mengadakan perbincangan memuaskan berhubung perkara itu dengan ketua hal ehwal luar EU Federica Mogherini lewat Ahad lalu, meskipun makan malamnya dengannya telah dibatalkan selepas kapal terbangnya terpaksa membuat pendaratan kecemasan.

“Saya begitu mengharapkan pertemuan dengan rakan-rakan saya,” tambahnya.

Johnson adalah orang yang berperanan penting dalam referendum Brexit 23 Jun dan pelantikannya minggu lalu telah mengejutkan ramai pihak di Eropah, dengan Menteri Luar Perancis Jean-Marc Ayrault berkata dia telah berdusta kepada para pengundi ketika kempen itu.

Mogherini, yang tiba sejurus selepas Johnson, berkata ‘kedua-dua mereka ‘mengadakan perbincangan memuaskan tentang isu-isu utama berhubung agenda hari ini’.

Dia enggan mengulas lanjut mengenai dengan rundingan Britain tentang pengundurannya dari gabungan itu, yang mana para pemimpin EU menegaskan ia hanya boleh bermula sebaik saja London menggunakan Fasal 50 Perjanjian Lisbon, EU untuk memulai perpisahan dengan EU. – AFP