Broner hadapi tuduhan menyerang, merompak

Broner hadapi tuduhan menyerang, merompak

LOS ANGELES, 27 Mac (AFP) – Juara tinju dunia WBA Amerika Syarikat (AS), Adrien Broner didakwa dengan pertuduhan menyerang dan merompak di kediamannya, Cincinnati, hanya seminggu sebelum dijadualkan bertarung mempertahankan kejuaraannya dalam kategori junior welterweight.

Peninju berusia 26 tahun itu dituduh menyerang dan merompak seorang lelaki di luar sebuah pusat bowling di Cincinnati pada 21 Januari lalu, lapor Cincinnati Enquirer, malam Khamis lalu.

Akhbar itu berkata polis sudah mengeluarkan waran bagi menahan Broner namun dia tidak berada dalam tahanan pada hari terbabit. Broner pada 1 April ini dijadualkan menentang peninju England, Ashley Theophane di Washington.

Enquirer berkata perbalahan itu berlaku di luar pusat bowling terbabit susulan perlawanan bowling yang membabitkan pertaruhan yang tinggi.

Akhbar itu berkata dua lelaki dikatakan berbalah mengenai duit sebelum seorang daripadanya mengeluarkan sepucuk pistol sebelum menumbuk dua kali lelaki terbabit yang kemudian rebah.

Lelaki itu kemudian mengambil $12,000 dolar AS daripada lelaki yang tidak sedarkan diri itu.

Insiden terbabit juga adalah sebahagian daripada tuntutan mahkamah yang difailkan pada dua bulan lalu dan tidak diketahui sama ada pertarungan kejuaraan dunia itu akan berlangsung seperti dirancang atau tidak.

Broner meraih kejuaraan dunia selepas menewaskan penyandang sebelum ini, Khabib Allakhverdiev (31-2, 23 knockout) pada Oktober lalu.