Bronze wira England

Bronze wira England

OTTAWA, 23 Jun (Reuters) – Lucy Bronze muncul wira England apabila jaringannya pada minit ke-76 membantu pasukannya menewaskan Norway, 2-1 pada saingan peringkat kalah mati Piala Dunia Wanita, di sini, semalam.

Kemenangan itu sekali gus memastikan pasukan berkenaan melangkah ke suku akhir untuk bertemu tuan rumah, Kanada di Vancouver pada Sabtu.

Begitupun, dalam aksi ini, Norway lebih dulu di depan menerusi sentuhan Solveig Gulbrandsen pada minit ke-55, sebelum England menyamakan melalui kapten pasukan, Steph Houghton pada minit ke-61.

Bronze memastikan kemenangan pasukannya selepas melakukan ledakan dari jarak 22 kaki untuk keputusan muktamad, 2-1.

“Bronzie luar biasa hari ini. Beliau pulih daripada beberapa kesilapan pada separuh masa pertama yang hampir menyebabkan kami tewas dan KB (penjaga gol Karen Bardsley) menyelamatkan kami,” kata jurulatih Mark Sampson.

Lucy Bronze (kanan) bersaing untuk menguasai bola dengan Isabell Herlovsen dari Norway dalam aksi Piala Dunia Wanita di Stadium Lansdowne semalam. – AFP
Lucy Bronze (kanan) bersaing untuk menguasai bola dengan Isabell Herlovsen dari Norway dalam aksi Piala Dunia Wanita di Stadium Lansdowne semalam. – AFP

“Ia adalah satu rasa sebenar kebanggaan pasukan untuk menunjukkan sifat dan daya tahan untuk bangkit daripada ketinggalan satu gol dalam perlawanan ini.

Kami bersedia untuk suku akhir dan berazam untuk mengekalkan rentak ini,” kata Sampson.

Sampson membuat empat perubahan kepada barisan permulaan dengan midfield Katie Chapman, pertahanan Laura Bassett, Bronze dan Claire Rafferty semuanya diturunkan.

Tetapi dalam babak pertama yang membosankan, Norway mempunyai banyak peluang dengan Bardsley mengunci gawang England dengan menafikan percubaan Isabell Helovsen pada awal permainan ketika England bergelut dengan cuaca panas Ottawa.

Selepas rehat, Norway memecah kebuntuan dengan Gulbrandsen, 34, menuju ke luar sudut untuk menjaringkan gol yang disahkan oleh teknologi garisan. Houghton menyamakan kedudukan bagi England tujuh minit kemudian hasil sepakan sudut Fara Williams.

ARTIKEL YANG SAMA