Brown tewaskan Nadal

Brown tewaskan Nadal

LONDON, 3 Julai (AFP) – Rafael Nadal tersingkir pada pusingan kedua saingan Kejohanan Wimbledon selepas tumpas kepada pemain kelayakan dari Jerman, Dustin Brown, di All England Club di sini.

Juara tahun 2008 dan 2010 itu dikejutkan oleh pemain ranking 102 berkenaan dengan keputusan 7-5, 3-6, 6-4, 6-4. Ini adalah kali keempat pemain ini gagal pada saingan awal di kejohanan berprestij itu.

Brown bakal bertemu pemain Serbia, Viktor Troicki pada saingan seterusnya.

“Saya kalah. Sudah tentu saya kecewa hari ini dengan kekalahan itu,” kata Nadal yang juga naib juara Kejohanan Wimbledon pada tahun 2006, 2007 dan 2011.

“Tapi inilah yang dinamakan sukan. Ada saat baik, ada saat sebaliknya. Sudah tentu ia saat tidak baik pada saya. Saya kena terima keputusan seperti ini. Saya sudah melaluinya sepanjang kerjaya saya.

Dustin Brown ketika meraikan kemenangan yang sangat mengejutkan buat peminat sukan tenis. – Reuters
Dustin Brown ketika meraikan kemenangan yang sangat mengejutkan buat peminat sukan tenis. – Reuters

“Saya akan terus melangkah. Ia bukan penamat. Ia memang menyedihkan buat saya. Tetapi hidup mesti diteruskan. Begitu juga kerjaya saya. Saya kena terus melangkah dan bekerja lebih kuat untuk cuba mengubah dinamik saya,”.

Sementara itu, bagi Brown yang terpaksa memandu van untuk menyertai kejohanan ini bagi menjimatkan wang berkata, ia adalah kemenangan kedua buat dirinya ke atas Nadal selepas aksi di Halle pada 2014.

“Saya sebenarnya tidak pernah beraksi di gelanggang utama sebelum ini,” kata Brown.

“Mereka bertanyakan saya, jika saya ingin bermain di sana. Saya tidak tahu akan berlaku, tapi saya katakan saya ingin bermain di situ,”.

ARTIKEL YANG SAMA