Bru.X.Fit kembali lagi

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Ekspo Brunei Fitness & Healthy Living (Bru.X.Fit) anjuran BruXFit Management Services kini kembali lagi buat kali kedua yang akan berlangsung selama empat hari, pada 26 sehingga 29 Oktober depan di Airport Mall.

Perkara ini telahpun diumumkan oleh Pengasas Bersama Bru.X.Fit, Syen Sofian dalam sesi sidang media yang telah berlangsung di Restoran Matadoe, Airport Mall, Berakas, pagi tadi.

Menurutnya, Bru.X.Fit 2017 merupakan ekspo yang diadakan untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan gaya hidup bersukan kepada komuniti masa kini dan menggalakkan orang ramai untuk bersukan dan melakukan aktiviti sihat dalam rutin seharian.

Di samping itu juga untuk menjadikan Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang aktif dan menjadi tarikan pelancong dalam bidang pelancongan sukan.

Tahun ini, Bru.X.Fit 2017 menampilkan trend kecergasan semasa dan produk-produk kesihatan, program-program serta pakej-pakej daripada peralatan sukan dan pakaian, makanan dan nutrisi, suplemen, perkhidmatan kesihatan dan sebagainya.

Pengasas-pengasas bersama Bru.X.Fit bergambar ramai bersama orang-orang terlibat dalam menjayakan ekspo tersebut.

Antara aktiviti yang dinanti-nantikan semasa ekspo itu adalah Pertandingan Kalistenik Serantau ‘Bar-Rage 4’ anjuran Brunei Calisthenics dan disokong oleh Organisasi Kalistenik Sedunia.

Bru.X.Fit 2017 ini turut disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Lembaga Pelancongan Brunei, Fitness Zone dan Poni Divers.

Sepanjang ekspo berkenaan juga akan diadakan promosi makanan sihat dan demonstrasi penyediaan makanan harian, aktiviti Muay Thai, demo powerlifting, sesi Spinning, Up Climbing Gym, Rock Climbing serta Cube Junction.

Pengasas Bersama Bru.X.Fit, Dayang Siti Kaprawi pula menambah, setiap petang sepanjang ekspo itu juga akan diadakan Pertandingan Masakan Sihat Tanpa Api dan juga pendaftaran bagi larian ‘The Nyirik Perabang Lema 2017’.

Ekspo itu nanti dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku tetamu kehormat.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan berkunjung ke ekspo berkenaan yang akan dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam.