Bruce antara calon kendali England

Bruce antara calon kendali England

LONDON, 20 Julai – Pengendali Hull, Steve Bruce (gambar) mengesahkan dia antara calon yang ditemuduga oleh Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) untuk jawatan ketua jurulatih England.

Pertemuan Bruce dengan pegawai FA England dilakukan secara tidak formal namun menurut pengendali berusia 55 tahun itu, dia sudah ditemuduga secara rasmi.

Hull bagaimanapun menafikan ada sebarang tawaran daripada FA England untuk khidmat Bruce dan bekas pertahanan Manchester United itu kini bersaing dengan pengendali Sunderland, Sam Allardyce untuk jawatan berkenaan.

Bruce, yang tidak pernah mewakili England di peringkat senior sepanjang kariernya sebagai pemain, membawa Hull kembali ke Liga Perdana selepas kemenangan ke atas Sheffield Wednesday dalam final ‘playoff’ Mei lalu.

Dia berharap dapat meyakinkan FA England yang dia adalah calon paling layak menggantikan Roy Hodgson, yang meletak jawatan sebaik England tersingkir dari Euro 2016 selepas kekalahan mengejut di tangan Iceland pada peringkat kelompok 16 terakhir.

pg21_160721_b

“Saya tidak begitu berjaya sebagai pemain, siapa yang tidak mahu (jawatan pengendali England)?” kata Bruce. “Jika anda orang Inggeris dan ia bermakna untuk anda, siapa mahu menolaknya?

“Ia adalah jawatan utama yang setiap orang Inggeris mahukan. Memang ia sukar, kami sedar hakikat itu, tetapi ia menunjukkan nilai anda.

“Saya cukup terharu apabila dipertimbangkan untuk jawatan ini. Kita tunggu dan lihat bagaimana keputusannya. Saya harap temu duga itu membuahkan hasil.”

FA turut menyenarai pendek pengendali Bournemouth Eddie Howe dan pengendali berpengalaman Amerika Syarikat yang juga bekas penyerang Jerman, Jurgen Klinsmann.

Jawatankuasa penilai FA itu terdiri daripada Ketua Eksekutif Manchester United, David Gill, Pengarah Teknikal FA England, Dan Ashworth dan Ketua Eksekutifnya, Martin Glenn. – AFP