Brugge ujian getir Van Gaal

Brugge ujian getir Van Gaal

BRUGES, Belgium, 26 Ogos (AFP) – Pengurus Manchester United, Louis van Gaal mengakui dia berdepan perlawanan terbesarnya ketika kelab itu berkunjung ke laman Club Brugge bagi perlawanan timbal balik play-off Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi ini.

Man United memperoleh kelebihan hasil kemenangan 3-1 pada perlawanan pertama, minggu lalu namun dengan beban tugas mengembalikan status kelab itu sebagai antara gergasi Eropah, Van Gaal tahu akibatnya andai kegagalan dicipta di Stadium Jan Breydel nanti.

Marouane Fellaini memberi kelebihan buat United apabila meledak gol ketiga ketika di Old Trafford yang memberikan kelebihan dua gol buat Red Devils.

Begitupun, kemampuan Club Brugge tidak boleh dipandang mudah malah mereka pernah mengatasi defisit 2-1 ketika bertemu Panathinaikos pada perlawanan kelayakan ketiga.

Ia menyebabkan Van Gaal mengingatkan anak buahnya supaya sentiasa berwaspada. Ketika ditanya adakah perlawanan itu paling getir buatnya sepanjang 13 bersama Man United, Van Gaal membalas: “Ya, kerana ini adalah sasaran kami.

Pengurus Manchester United, Louis van Gaal. – Reuters
Pengurus Manchester United, Louis van Gaal. – Reuters

“Sasaran kami ialah untuk beraksi di Liga Juara-Juara Eropah dan kami masih belum bersaing. Ia adalah pusingan kelayakan, jadi ia amat penting.

“Kamu perlu bermain perlawanan dan pada akhirnya kamu perlu menjaringkan lebih daripada satu gol berbanding pasukan lawan.

“Mereka turut menang ketika bertemu pencabar dari Greek dengan keputusan 3-0 jadi mereka mampu melakukannya dan dengan sokongan penyokong, kami sudah melihat penyokong mereka di Manchester, jadi saya fikir mereka memang amat menyokong mereka.”

Sekalipun Man United bergelut untuk menjaringkan gol pada aksi Liga Perdana Inggeris dengan meledak dua gol daripada tiga perlawanan, jaringan nampak mudah dijelmakan ketika saingan di peringkat Eropah.

Pada aksi di Old Trafford minggu lalu, pemain yang baharu dibeli, Memphis Depay meledak dua gol sebelum pemain kelahiran Belgium, Fellaini menjaringkan gol terakhir.