Brunei akur, tewas 9-1 kepada Malaysia

Brunei akur, tewas 9-1 kepada Malaysia

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Okt – Faizul Jefry bin Awang Haji Zaini memberikan Brunei Darussalam sesuatu untuk diraikan apabila berjaya menembusi tembok kebal pertahanan Malaysia dalam aksi Kumpulan A Kejohanan Futsal AFF 2015 malam ini walaupun akhirnya terpaksa akur tewas 1-9 kepada lawan yang jauh lebih bersedia.

Ketika jumlah jaringan sebegitu dalam bolasepak dikira teruk tetapi dalam arena futsal ia keputusan yang masih boleh diterima dan dihormati lebih-lebih lagi jika pasukan yang tewas berjaya menjaringkan gol walaupun hanya satu. Syabas buat skuad futsal Tabuan yang kini di ranking 92 dunia kerana berjaya memberikan saingan kepada pasukan di ranking 64 dunia.

Separuh masa pertama perlawanan kedua Kumpulan A di Arena Futsal Bangkok itu berkesudahan 4-1 sebelum Malaysia berjaya menambah lima gol lagi pada separuh masa kedua.

Gol pertama Malaysia hadir hanya 32 saat selepas sepak mula disumbangkan oleh Ahmad Fawzul Mohamad, disusuli dengan gol kedua lima minit kemudian menerusi jaringan Aizad Daniel. Faizul Jefry menjadikan kedudukan 1-2 apabila berjaya menggegar gawang Malaysia pada minit ke-9 tetapi pendahuluan dua gol Malaysia dikembalikan semula oleh Muhammad Fitri Yatim hanya selang dua minit kemudian.

Ahmad Fawzul meledakkan gol kedua peribadinya pada minit ke-12 untuk memberikan Malaysia pendahuluan 4-1 sehingga rehat. Ahmad Fawzul mencipta hatriknya lima minit selepas rehat untuk kedudukan 5-1.

Azmanuddin (tujuh kiri) bersama-sama 14 pemain Skuad Futsal Brunei Darussalam di Arena Futsal Bangkok menjelang pertemuannya dengan Malaysia.
Azmanuddin (tujuh kiri) bersama-sama 14 pemain Skuad Futsal Brunei Darussalam di Arena Futsal Bangkok menjelang pertemuannya dengan Malaysia.

Empat lagi gol Malaysia disumbangkan oleh Aizad untuk gol kedua peribadinya pada minit ke-26, Akmarul Nizam Mohd Idris pada minit ke-28 menerusi sepakan penalti, Saiful Nizam Mohamad Ali pada minit ke-30 dan jaringan sendiri pemain Brunei Darussalam pada minit ke-35.

Pasukan negara akan turun lagi bermain pada esok hari (9 Oktober) bermula pukul 4:30 petang waktu Thailand (5:30 petang waktu Brunei) di tempat yang sama, Arena Futsal Bangkok, menentang Timor Leste (ranking 90 dunia), yang menang 6-3 ke atas Singapura dalam perlawanan lebih awal Kumpulan A di sebelah petang tadi.

Ketua Jurulatih Brunei Darussalam, Azmanuddin bin Haji Gilen dalam temu bual bersama Media Permata menyatakan, Malaysia telah melalui persiapan rapi dengan mengikuti kejohanan di luar negeri di samping mengadakan kejohanan jemputan antarabangsa, maka tidak hairanlah mereka lebih mantap dari segala segi.

Beliau memuji semangat juang anak didiknya yang telah melakukan secemerlang mungkin setiap arahan yang diberikan sehingga berjaya menjaringkan satu gol penting pada babak pertama menerusi serangan balas pantas yang disudahkan penuh berkesan oleh timbalan kapten pasukan, Faizul Jefry.

Menyentuh mengenai persiapan pasukan negara, Azmanuddin mengongsikan mereka telah mula berlatih sejak 19 Ogos, setiap malam kecuali Ahad dan hari kelepasan awam dengan latihan kecergasan menjadi fokus. Kemudian bermula 1 September latihan mula diadakan dua sesi dua jam iaitu pagi dan petang yang lebih tertumpu kepada taktikal dan teknik.

Selepas Timor Leste, lawan seterusnya adalah Singapura pada 10 Oktober pukul 4:30 petang dan kemudiannya menentang pasukan terkuat yang berada pada kedudukan ke-18 dunia iaitu Thailand pada pukul 7:00 malam 11 Oktober, yang merupakan perlawanan terakhir peringkat kumpulan buat skuad negara.

Pada kejohanan yang akan mengambil tempat di Arena Futsal Bangkok berkenaan, skuad futsal Tabuan berada dalam Kumpulan A bersama Thailand, Timor Leste, Malaysia dan Singapura.

Bersaing dalam Kumpulan B ialah Australia, Vietnam, Laos, Myanmar dan Filipina. Aksi Kumpulan B hari ini menyaksikan Vietnam menang 13-1 ke atas Laos dan Myanmar menang 13-0 ke atas Filipina.